KUALA LUMPUR 26 April - KPower Bhd. menandatangani perjanjian induk (HOA) dengan Pristine Falcon Sdn. Bhd. (PFSB) untuk mengambil alih loji janakuasa hidro mini berkapasiti 29.1MW di Kota Marudu, Sabah yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan.
Ini menyaksikan anak syarikat milik penuhnya, KPower RE Sdn. Bhd. berhasrat untuk memperoleh sehingga 5,000,000 saham biasa, mewakili sehingga 100% pegangan (saham jualan) dalam One River Power Sdn. Bhd. (ORP) dengan pertimbangan sehingga RM130 juta yang dipenuhi melalui gabungan tunai dan terbitan saham baharu dalam KPower.
Pihak-pihak berkenaan hendaklah membuat perjanjian muktamad untuk cadangan itu dalam tempoh 45 hari dari tarikh HOA.
Penjualan saham tersebut memerlukan persetujuan Inno Hydropower (B) Sdn. Bhd. (Inno Hydro) sebagai pemilik benefisial 30% daripada saham jualan dan pemegang hak pembelian untuk memperoleh 10% saham jualan daripada PFSB.
Saham jualan itu juga tertakluk kepada penukaran E&E Catalyst Sdn. Bhd., yang memegang 10 juta saham keutamaan dalam ORP.

Pengerusi Eksekutif KPower, Mustakim Mat Nun berkata, pengambilalihan tersebut mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE).
Katanya, langkah itu menyaksikan KPower bukan sahaja sebagai pemain dalam segmen kejuruteraan, pembinaan, perolehan dan pentaulihan (EPCC) bagi sektor tersebut tetapi berperanan sebagai pemilik aset dengan dwi portfolio membabitkan loji kuasa solar 50MW dan loji kuasa hidro 29.1MW tidak lama lagi.
"Aset ini, yang akan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan, mewakili pemerolehan strategik untuk kami kerana ia mempelbagaikan portfolio aset.
"Malah, ia juga konsisten dengan visi dan misi model perniagaan pemilikan aset kumpulan untuk memberi dividen jangka panjang yang mampan.
"Ini membolehkan KPower mengembangkan aliran pendapatan dan seterusnya mengukuhkan kedudukan kami dalam sektor utiliti dan kelestarian tenaga," katanya dalam kenyataan hari ini.
Cadangan pengambilalihan itu dijangka menyumbang kepada aliran pendapatan berulang yang menguntungkan, meningkatkan keuntungan KPower dan menyediakan pendapatan yang lebih baik dalam tempoh jangka panjang, sekali gus meningkatkan nilai kepada pemegang saham.
Secara dasarnya, ORP merupakan pemain RE yang mapan, terlibat terutamanya dalam pembangunan loji kuasa hidro di Sabah dan dilesenkan di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) menerusi program Feed-in-Tariff (FiT).
Setakat ini, ORP telah memperoleh 3 loji kuasa hidro yang berpangkalan di Sabah dengan jumlah kapasiti gabungan sebanyak 29.1MW.
Di bawah program FiT, ia menandatangani perjanjian pembelian tenaga dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd. bagi tempoh konsesi selama 21 tahun bermula daripada tarikh operasi komersial.
Sehingga kini, salah satu loji janakuasa hidro ORP di Sabah telah memulakan operasinya sejak 9 Julai 2021 manakala baki 2 loji masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada April 2023, tanpa sebarang keadaan tidak dijangka.
Dengan loji janakuasa hidro sedia ada yang sudah beroperasi, dan baki loji janakuasa hidro akan siap dalam tempoh kurang daripada 12 bulan, prospek ORP dijangka positif dalam tempoh konsesi selama 21 tahun. - DagangNews.com








