KPMG bayar RM340.92 juta penyelesaian 1MDB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPMG bayar RM340.92 juta penyelesaian 1MDB

​​​​​​​Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 13 Jan - Kerajaan telah menerima penyelesaian berjumlah RM340.92 juta (AS$80 juta) daripada KPMG yang telah disalurkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penyelesaian ini adalah susulan daripada pengumuman pada 16 September 2021 di mana KPMG bersetuju untuk menyelesaikan saman sivil yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap mereka.

 

 “Sehingga kini, kerajaan telah membayar balik RM13.3 bilion hutang 1MDB. 

 

"Pada 31 Disember 2021, hutang terkumpul 1MDB yang terdiri daripada prinsipal dan kupon/keuntungan untuk bon dan Sukuk adalah berjumlah RM38.81 bilion.

 

"Walau bagaimanapun, baki semasa Akaun Amanah adalah mencukupi untuk membayar jumlah prinsipal bon untuk tahun ini sahaja," katanya.

 

Tambah beliau, apabila semua dana Akaun Amanah telah digunakan, kerajaan akan terus menanggung obligasi untuk membayar baki hutang 1MDB, yang penerbitannya disokong oleh Jaminan dan Surat Sokongan Kerajaan.

 

 

Beliau berkata, kerajaan kekal komited dalam usaha pemulihan aset 1MDB, dan akan sentiasa memastikan peruntukan yang mencukupi untuk menyelesaikan hutang 1MDB bagi menguruskan beban kewangan negara yang diakibatkan oleh entiti ini.

 

"MOF ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Pasukan Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini," katanya. 

 

September tahun lalu, KPMG bersetuju dengan penyelesaian bernilai RM333 juta (AS$80 juta) bagi memenuhi semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka dalam pengauditan akaun 1MDB untuk tempoh 2010 hingga 2012.

 

Penyelesaian dengan KPMG, bernilai lebih daripada 800 kali ganda fi audit yang diperoleh KPMG, adalah satu daripada penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara. -DagangNews.com