SUBANG JAYA 3 Ogos - Sebanyak 108 projek lewat dan 459 projek sakit manakala terdapat 114 projek disahkan terbengkalai dengan pertambahan dua lagi projek dilaporkan setakat akhir Jun 2023, berbanding bulan sebelumnya, menurut Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, dua projek itu adalah Projek Desa Rhu Redang dan Projek Desa Salam, di Marang, Terengganu menjadikan semua projek lewat, sakit dan terbengkalai yang kini membawa nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM80.25 bilion.
"Peratusan projek perumahan swasta lewat dan sakit yang berjaya dipulihkan sehingga kembali lancar dan menerima Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi tempoh Januari 2023 hingga Jun 2023 adalah sebanyak 178 projek (20,926 unit rumah) dengan GDV sebanyak RM16.75 billion.
"Manakala, Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memulihkan sebanyak lima projek terbengkalai (962 unit rumah) dengan GDV sebanyak RM441.84 juta.
"Secara keseluruhannya sebanyak 183 projek (21,888 unit rumah) berjaya dipulihkan dengan GDV sebanyak 17.19 billion," katanya dalam sidang media mengenai 'Status Terkini Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai' di sini hari ini.
Dalam pada itu, KPKT bersetuju untuk membatalkan tiga projek sakit di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) melalui Langkah Penstrukturan Projek Sakit SPNB kerana ketiga-tiganya sudah tidak berdaya maju untuk diteruskan.
Tiga projek berkenaan ialah Projek Perumahan Makmur Karak Setia, Bentong, Pahang; Residensi Lanar, Seremban, Negeri Sembilan dan Taman Nusa Idaman, Kuala Ping, Terengganu (Fasa 1 & 2).

Akmal Nasrullah berkata, keputusan itu dibuat oleh SPNB kerana mendapati ketiga-tiga projek berkenaan hanya dapat dijual 50 unit daripada keseluruhan 766 unit, sekali gus menjadikannya sebagai tidak berdaya maju.
Selain itu, katanya terdapat faktor lain yang menyumbang membabitkan Projek Perumahan Makmur Karak Setia apabila mendapati ia sudah tidak sesuai untuk dibangunkan selepas kejadian banjir besar yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini.
"Insiden ini membabitkan perubahan yang ketara pada keadaan sekeliling, contohnya ban yang memisahkan dengan sungai di kawasan itu berlaku kerosakan yang besar menyebabkan tapak pembinaan di perumahan ini turut terjejas.
"Jadi, dari segi kesesuaian untuk kita membina projek perumahan ini tidak sesuai selagi mana isu ban dan sebagainya tidak diselesaikan terlebih dulu. Jika mahu diteruskan juga, ia sudah tidak sesuai.

"Justeru, kita tangguhkan dulu projek ini, apabila sudah selesai masalah ban ini dan sebagainya maka kawasan ini wajar dibangunkan semula. Ketika itu, sama ada SPNB mahu bangunkan sendiri projek ini atau mengguna pakai kaedah yang lain akan diputuskan oleh pengurusan mereka sendiri, " katanya.
Akmal Nasrullah berkata, sebelum membuat pembatalan berkenaan, SPNB sudah mengadakan rundingan dengan pembeli dan hampir semua bersetuju untuk membatalkan pembelian mereka, lapor Berita Harian.

"Mungkin ada satu, dua pembeli yang dalam proses untuk kita berunding. Segala bayaran yang dilakukan oleh pembeli sebelum ini akan dipulangkan selain SPNB akan turut memberikan sedikit pampasan kepada mereka.
"Kita yakin langkah membatalkan tiga projek sakit ini mampu memberi ruang kepada SPNB untuk memberi fokus menyiapkan tujuh projek sakit yang berbaki dengan sasaran penyiapan pada suku pertama tahun 2024," katanya. - DagangNews.com








