KUALA LUMPUR 31 Ogos - KPJ Healthcare Berhad mempersembahkan lagu yang diberi tajuk, 'Cahaya' yang membawa maksud harapan dan direka cipta khas sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 dan Hari Malaysia.
Presiden dan Pengarah Urusan, KPJ Healthcare, Ahmad Shahizam Mohd Shariff berkata, melalui inisiatif ini, KPJ Healthcare berharap agar syarikat dapat mengorak langkah pertama ke fasa seterusnya dalam membantu Malaysia kembali pulih seperti sedia kala.
Beliau berkata, semua orang telah melalui pelbagai cabaran dan kekangan, terutama dalam beberapa bulan yang lalu ketika negara mengalami lonjakan kes COVID-19.
''Hari ini adalah Hari Merdeka dan Hari Malaysia bakal menyusul, jadi ini adalah masa yang tepat untuk kita meraikan keindahan negara dan memperingati mereka yang telah berjuang untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan negara sejak awal lagi.
''Ini adalah cara yang terbaik untuk kita meraikan hari yang penuh bermakna ini selain daripada sebuah lagu yang memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia untuk kembali bangkit dan bersatu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ahmad Shahizam berkata, pihaknya berharap lagu ini akan memberi kekuatan kepada semua rakyat untuk bergerak ke hadapan, bukan hanya dari segi emosi tetapi juga secara fizikal, di mana apabila mendengarkan liriknya, diharap ia dapat menyentuh perasaan yang akan menyatukan semua melalui pesanan yang disampaikan dalam lagu ini sebagai inspirasi kepada semua bahawa seluruh rakyat akan dapat bersama-sama mengharungi cabaran ini.
''Sebagai rakyat Malaysia secara umumnya, kita saling mengambil berat antara satu sama lain, dan kami di KPJ juga turut mengambil berat,” tambah Ahmad Shahizam.

Lirik lagu 'Cahaya', telah ditulis oleh Samson Mikail, seorang warga kerja KPJ Healthcare dan M. Saad, yang menyentuh tentang daya tahan, inspirasi dan harapan, agar negara dapat bebas daripada wabak pandemik COVID-19.
Menurut Samson, “Saya mendapat ilham untuk menggubah lagu ini berdasarkan pengalaman yang saya alami sendiri ketika bertugas di Mega PPV di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Melihatkan bagaimana pusat vaksinasi ini dikendalikan telah menyatukan ramai orang dari segi luaran dan dalaman.”
“Saya berasa sangat bertuah dapat bekerjasama dengan artis berbakat seperti Marsha Londoh dan apabila mendengarkan beliau mendendangkan lagu ini dengan penuh penghayatan, ia amat mengagumkan di samping gabungan pasukan koir dari Kolej Universiti KPJ telah menjadikan lagu ini begitu hebat sekali,” kata beliau.

Marsha merupakan bekas pesakit COVID-19 dan telah melalui pengalamannya sendiri bagaimana petugas-petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan bertungkus-lumus membantunya untuk kembali sihat, dan terharu dengan lirik lagu ini telah bersetuju untuk menyanyikannya. - DagangNews.com








