KPJ Healthcare, Perkeso perkukuh kerjasama penjagaan kesihatan awam, swasta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare, Perkeso perkukuh kerjasama penjagaan kesihatan awam, swasta

(Dari kiri) Datuk Mohamad Farid Salim, Norhaizam Mohammad, Datuk Dr Hafez Hussain dan Dr Nur Liyana Kahar bergambar ketika majlis memeterai kerjasama antara KPJ Healthcare dan Perkeso di Hospital Pakar Damansara 2, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - KPJ Healthcare Berhad menjalin kerjasama strategik dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membantu memulihkan pesakit daripada segi fizikal, vokasional dan psikologi sebelum kembali menjalani kehidupan normal.

 

Melalui kerjasama awam-swasta dua tahun ini, KPJ Healthcare menyediakan rawatan dan perkhidmatan pemulihan kepada individu dilindungi Perkeso, dengan laporan komprehensif dan kakitangan berdedikasi bagi memantau dengan teliti perkembangan pemulihan individu terbabit di fasiliti KPJ Healthcare terpilih. 

 

Perkhidmatan ini termasuk rawatan pesakit dalam, penjagaan kejururawatan, fisioterapi, terapi pekerjaan dan pertuturan, dan lain-lain, bergantung kepada keperluan pesakit.

 

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya dapat menyediakan langkah pencegahan awal, pemulihan komprehensif dan meningkatkan kebolehcapaian pemulihan kepada lebih ramai orang yang dilindungi Perkeso di Hospital Pakar KPJ di seluruh negara. 

 

Beliau berkata, proses pemulihan juga boleh dipercepatkan dan dioptimumkan supaya pesakit boleh kembali bekerja dan menyara keluarga mereka. 

 

"Ini adalah selaras dengan matlamat Program Return-To-Work (RTW) Perkeso yang menekankan langkah pencegahan awal dan pemulihan intensif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad pula berkata, mereka berbesar hati bekerjasama dengan Perkeso dalam memastikan kesinambungan penjagaan, terutamanya untuk pesakit yang cedera atau kurang upaya.

 

 

kpj

 

 

“Sejak Jun 2022, kami menerima pesakit dari Perkeso di Hospital Pakar KPJ Sabah dan baru-baru ini di Hospital Pakar Damansara 2, dan kami berharap dapat menawarkan lebih banyak kemudahan KPJ Healthcare,” tambahnya.

 

Terdahulu, perjanjian kerjasama tersebut ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi Perkeso, Datuk Dr Hafez Hussain yang mewakili Mohammed Azman dan Norhaizam bagi pihak KPJ Healthcare.

 

Ia disaksikan Pemangku Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare, Datuk Mohamad Farid Salim dan Ketua Pegawai Perubatan Pusat Rehabilitasi Perkeso, Dr Nur Liyana Kahar.

 

Selain program RTW, Perkeso juga melaksanakan program saringan kesihatan percuma untuk pekerja berinsurans yang layak bagi mengenalbpasti risiko kesihatan atau kumpulan berisiko tinggi untuk Non-Communicable Diseases, membolehkan mereka mendapatkan rawatan sewajarnya. 

 

KPJ Healthcare juga menyediakan rawatan dialisis untuk individu berinsurans yang menghidap penyakit buah pinggang kronik. - DagangNews.com