KPDN :  Inisiatif TnG tangani isu perkhidmatan masih belum mencukupi | DagangNews Skip to main content

KPDN :  Inisiatif TnG tangani isu perkhidmatan masih belum mencukupi

KUALA LUMPUR 10 Feb - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyifatkan inisiatif yang dilaksanakan syarikat Touch ‘n Go (TnG) dalam menyelesaikan beberapa isu berkaitan perkhidmatan TnG yang dibangkitkan sebelum ini, masih belum mencukupi.

 

Dalam hal ini, kementerian itu berkata, pelan tindakan yang jelas terutama langkah penambahbaikan lebih terperinci berhubung isu perkhidmatan TnG akan menjadi keutamaan pada sesi libat urus pasukan petugas khas KPDN akan datang.

 

Menurutnya, terdapat beberapa penambahbaikan segera telah dilakukan oleh syarikat TnG dalam tempoh seminggu yang diberikan sebelum ini, seperti membuat penambahan sehingga 3.5 juta kad pada tahun ini berbanding 2.68 juta kad pada tahun 2022 susulan isu kekurangan kad.

 

“Selain itu, syarikat TnG menghantar notifikasi kad tamat tempoh kepada pengguna TnG melalui aplikasi e-wallet termasuk e-mel pemakluman dihantar sebulan sebelum kad tamat tempoh.

 

“Bagi isu pemulangan dan bayaran balik baki kad, pihak TnG akan meneliti dan melaksanakan proses bayaran balik dengan segera kepada pengguna setelah syarikat konsesi melakukan siasatan, pengesahan dan kelulusan selain advokasi berkaitan fungsi kad visa TnG,” katanya dalam kenyataan, semalam.

 

Kementerian itu berkata, TnG turut menghantar notis kepada platform e-dagang bagi menurunkan iklan penjualan produk TnG tidak berdaftar, serta notis kepada pengendali syarikat minyak, peruncitan dan pengedar sah supaya menjual kad TnG pada harga yang ditetapkan serta mengehadkan satu kad setiap pelanggan.

 

Bulan lalu, KPDN menubuhkan sebuah pasukan khas itu bagi meneliti masalah berkaitan sistem pembayaran baharu TnG. -DagangNews.com