Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Dis - AmInvestment 'neutral' terhadap sektor perladangan separuh pertama 2022 (1H2022) berikutan terbitan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dijangka menyekat penilaian dan prestasi harga saham.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, AmInvestment berkata, pihaknya turut yakin harga minyak sawit mentah (MSM) akan menurun pada 2022 diheret oleh harga minyak kacang soya yang lebih rendah dan pengeluaran sawit yang lebih tinggi di Indonesia dan Malaysia.
"Kami telah mengandaikan purata harga MSM direalisasikan sebanyak RM3,000/tan untuk syarikat dalam tinjauan kami pada 2022 berbanding RM3,500/tan pada 2021.
"Harga purata MSM yang direalisasikan dijangka lebih rendah daripada harga spot berikutan cukai eksport dan levi MSM Indonesia," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
AmInvestment berkata, pengeluaran MSM di Malaysia dijangka pulih pada 2022 selepas mengalami penurunan sebanyak 3.6% pada 2020 dan 5.0% pada 2021.
Katanya, kedatangan 32,000 pekerja asing dan hujan yang mencukupi pada 2021 akan meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) di Malaysia pada 2022.
"Dengan mengandaikan purata hasil BTS meningkat kepada sederhana 17.5 tan/ha di Malaysia pada 2022 daripada anggaran 16.7 tan/ha pada 2021 berdasarkan kawasan matang seluas 5.3 juta hektar, keluaran MSM Malaysia akan menjadi 18.7 juta tan metrik pada tahun 2022.
"Pada masa ini, Oil World menjangkakan pengeluaran MSM Malaysia meningkat sebanyak 1.1 juta tan pada 2022 manakala pengeluaran MSM Indonesia dijangka meningkat 1.7 juta hingga 1.9 juta tan metrik," katanya.
Dalam pada itu firma penganalisis itu menjangkakan pendapatan sektor mungkin menurun pada 2022 disebabkan kos baja yang lebih tinggi dan harga yang lebih rendah.
"Kenaikan kos baja mungkin mengakibatkan kenaikan 10% hingga 20% dalam kos pengeluaran setiap tan pada 2022 dengan kos pengeluaran sesetengah syarikat mungkin melebihi RM2,000/tan pada 2022 daripada kira-kira RM1,800/tan pada masa ini," katanya. -DagangNews.com








