KUALA LUMPUR 15 Feb - MIDF Research menaikkan harga sasaran (TP) Hup Seng Industries Bhd. kepada 85 sen daripada 79 sen sesaham sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli' terhadap syarikat pengeluar biskut itu selepas ia merekodkan prestasi kewangan melebihi jangkaan.
Ia turut menyemak naik unjuran keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 203 (FY23) hingga FY24 masing-masing sebanyak 11.3% dan 8.4%.
"Semakan ini dibuat selepas mengambil kira kos jualan yang lebih rendah disebabkan penurunan kos bahan mentah," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi FY22, keuntungan bersih Hup Seng susut kepada RM26.08 juta berbanding RM27.24 juta dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Bagaimanapun, pendapatan bagi tempoh dikaji meningkat kepada RM318.19 juta daripada RM295.83 juta pada FY21.
Pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2022 meningkat sebanyak 8% apabila jualan domestik mencatatkan kenaikan 9& atau RM19.9 juta daripada semua saluran.
Menurut MIDF Research, prospek keuntungan bagi FY23 juga dijangka disokong oleh kos bahan mentah yang lebih rendah, seperti minyak sawit mentah dan gandum, yang merupakan bahan utama digunakan dalam pengeluaran biskut.
"Bagaimanapun, kami menyukai saham ini terutamanya didorong jenama biskutnya yang menjadi kegemaran bagi isi rumah di Malaysia.
"Selain itu, kumpulan juga konsisten membayar dividen dan memiliki kedudukan tunai bersih yang kukuh sebanyak RM26.4 juta pada FY22," tambahnya.
Kumpulan itu mencadangkan dividen satu sen sesaham untuk suku keempat, menjadikan jumlah dividen untuk FY22 kepada dua sen sesaham.
Setakat 12.05 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 1.3% kepada 78 sen dengan 1.21 juta saham diniagakan. -DagangNews.com








