Koop Sahabat umum dividen 10% babitkan bayaran RM6.5 juta pada FY22 | DagangNews Skip to main content

Koop Sahabat umum dividen 10% babitkan bayaran RM6.5 juta pada FY22

KUALA LUMPUR 19 Jun - Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd (Koop Sahabat) mengumumkan agihan keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 10% kepada 452,728 anggotanya membabitkan pembayaran sebanyak RM6.5 juta berbanding RM5.8 juta pada 2021.

 

Pengerusi Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, koperasi itu juga telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM12.6 juta, meningkat sebanyak 25% berbanding 10.1 juta pada 2021.

 

"Prestasi ini merupakan komitmen Koop Sahabat dalam menjaga kebajikan anggotanya yang  merupakan usahawan wanita dalam kalangan B40 di samping memberi keyakinan yang kukuh kepada bakal ahlinya dalam kalangan Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

 

"Kami juga percaya perniagaan Koop Sahabat yang kini meliputi perniagaan dalam perkhidmatan kewangan seperti Ar Rahnu, pembangunan hartanah, pelaburan korporat, pelaburan strategik dan pelaburan dalam ekuiti awam akan terus berkembang dengan sokongan daripada anggotanya," katanya dalam kenyataan.

 

Beliau berkata, semalam Koop Sahabat mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan  Tahunan (MAPT) Ke-10 di sini yang dirasmikan oleh Naib Pengerusi Eksekutif Operasi dan Kawal Selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Siti Azlin Ahmad Dauta. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Koop Sahabat, Mazri Mahmood.

 

Mohd Najib berkata, Koop Sahabat juga melancarkan produk i-Gold Personal Account (i-GPA) iaitu produk emas digital patuh syariah dengan kerjasama KAB Goldynamic Sdn Bhd yang mampu membantu dan mengukuhkan kewangan masyarakat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.

 

Katanya, I-GPA memberi peluang kepada masyarakat untuk memiliki simpanan emas digital mereka sendiri dan boleh ditukar kepada emas fizikal apabila simpanan telah mencukupi, lapor Bernama.

 

"I-GPA merupakan kaedah terbaharu kepada pekerja gig dan anak-anak anggota koperasi untuk membuat tabungan masa hadapan dengan memiliki emas dalam bentuk digital bagi membina dana kecemasan.

 

"Pembelian emas digital serendah RM10 melayakkan anggota dan anak-anak anggota serta pengguna untuk memiliki simpanan mereka," katanya. - DagangNews.com