Kontrak bina hospital RM108.8 juta giatkan semula segmen pembinaan Cypark Resources – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak bina hospital RM108.8 juta giatkan semula segmen pembinaan Cypark Resources – PublicInvest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 April - Surat anugerah (LOA) untuk kerja pembinaan Hospital Selgate Rawang menggiatkan semula segmen pembinaan dan kejuruteraan (CE) Cypark Resources Berhad dan akan meningkatkan pendapatan tahun kewangan 2024 (FY24).

 

Menurut PublicInvest Research, LOA daripada syarikat milik kerajaan Selangor, Selgate Corporation Sdn Bhd bernilai RM108.8 juta bagi tempoh sembilan bulan itu merupakan kontrak pelaksanaan dan penyiapan baki kerja pembinaan hospital swasta di Rawang.

 

Cypark bertanggunjawab untuk melaksanakan dan menyiapkan baki kerja pembinaan hospital swasta 10 tingkat tersebut bersama tempat letak kereta enam tingkat.

 

Ini merupakan kontrak pertama untuk segmen CE selepas kumpulan itu menamatkan kontrak kerja jalan raya dengan TTDI KL Metropolis Sdn Bhd secara bersama pada September 2022, hanya enam bulan selepas ia diperoleh.

 

Mengimbas kembali, firma itu berkata segmen CE kumpulan itu tidak melaporkan sebarang pendapatan luaran dalam suku kelima tahun kewangan berakhir 30 April 2023 (5QFY23) disebabkan penyiapan projek sedia ada dan penamatan kontrak kerja jalan tersebut.

 

Cypark melaporkan pendapatan luaran RM20 juta hingga 24 juta untuk segmen CE pada tahun kewangan 2020 hingga 2021 (FY20-21) dan setakat ini bagi FY23, kumpulan itu hanya mampu menempah pendapatan luaran RM6.6 juta, jelasnya.

 

Firma itu berkata, kontrak ini menamatkan musim kering bagi segmen CE, dengan keseluruhan nilai kontrak RM108.8 juta dijangka diiktiraf pada FY24.

 

“Secara keseluruhannya, kami positif terhadap kontrak ini, walaupun kekal konservatif dan mengekalkan ramalan buat masa ini, sementara menunggu permulaan operasi Solar Berskala Besar 3 Danau Tok Uban (LSS3 DTU) yang telah lama ditunggu-tunggu pada Mei 2023,” tambahnya dalam nota hari ini.

 

PublicInvest berkata anggaran pendapatannya berisiko sekiranya terdapat kelewatan lagi untuk LSS3 DTU memulakan operasi.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 63sen sesaham. -DagangNews.com