Kontrak baharu MPKu bernilai RM77 juta diunjur lonjak pendapatan ITMAX ke tahap lebih baik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak baharu MPKu bernilai RM77 juta diunjur lonjak pendapatan ITMAX ke tahap lebih baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan kontrak baharu yang diraih ITMAX System Berhad daripada Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) bernilai RM77.1 juta diunjur melonjakkan pendapatan kumpulan itu ke tahap lebih baik.

 

Katanya, sama perti kontrak yang diraih daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Mjlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), kontrak 15 tahun itu adalah antara yang paling lama pernah diraih.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia akan memberikan ITMAX peluang besar untuk menjual lebih banyak ciri baharu, meluaskan liputan dan skop kerja kepada MPKu.

 

"Seperti kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), MBJB, MBIP dan MBPG, sewaan bagi setiap kamera menerusi perjanjian itu menghasilkan kira-kira RM1,200 sebulan tetapi kami menjangkakan margin tinggi diraih menerusi perkhidmatan pengawasan video dan analitik.

 

"Kontrak MPKu termasuk sistem lampu isyarat pintar melibatkan 33 kawalan, meninggalkan banyak ruang untuk berkembang kerana terdapat lebih banyak simpang di Kulai.

 

"Bertentangan dengan pengebilan sekali sahaja untuk sistem pengurusan trafik, ini akan dicaj berdasarkan sewa bulanan kira-kira RM2,000 sebulan, meningkatkan aliran pendapatan berulangnya lagi dalam kadar keterlihatan yang lebih lama," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: ITMAX raih kontrak bernilai RM77 juta sedia rumusan bandar pintar daripada Majlis Perbandaran Kulai

 

Terdahulu, kontrak yang diraih daripada MPKu itu melibatkan kerja mereka bentuk, memasang dan menyelenggara pusat arahan pintar, sistem kamera litar tertutup dengan ciri kecerdasan buatan (AI) serta sistem lampu isyarat pintar di Kulai, Johor untuk tempoh 15 tahun pada asas langganan bulanan, mulai 26 Mac 2024 hingga 25 Mac 2039.

 

HLIB berkata, kontrak itu hanya terdiri daripada perkhidmatan pengawasan video dan sistem lampu isyarat pintar, pihaknya tidak menolak penyelesaian lain seperti lampu rangkaian dan tempat letak kereta pintar untuk disertakan pada masa hadapan.

 

"Kami percaya bahawa sistem bersepadu dan rumusan bandar pintar buatan sendiri ini merupakan sesuatu yang menarik memandangkan potensi pertumbuhan berbilang tahunnya disokong buku pesanan dan tender yang kukuh.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga RM2.90 sesaham," katanya. - DagangNews.com