Konsortium KAB dipilih sebagai pengeluar tenaga solar CGPP | DagangNews Skip to main content

Konsortium KAB dipilih sebagai pengeluar tenaga solar CGPP

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Konsortium diterajui Kinergy Advancement Berhad (KAB) telah dipilih sebagai salah satu pengeluar tenaga solar di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

Konsortium tersebut terdiri daripada anak syarikatnya, KAB Smart Solar Energy Sdn. Bhd (KSSE) dan Salcon Berhad.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, pembekal rumusan tenaga dan kejuruteraan sehenti itu berkata telah diberi peruntukan kapasiti eksport sebanyak 7 MWac.

 

Seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada 7 Ogos 2023, hanya 22 daripada 71 pemohon setakat ini telah berjaya dipilih sebagai pengeluar tenaga solar di bawah CGPP dan 236.58MW daripada jumlah peruntukan 800MW telah diagihkan kepada mereka.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata kumpulan itu berbangga dipilih sebagai pengeluar tenaga solar CGPP yang membuktikan  kekuatan portfolio solar fotovoltaik, seiring dengan strategi pertumbuhannya bagi segmen rumusan tenaga mampan (SES).

 

 

Datuk Lai Keng Onn
Datuk Lai Keng Onn (Gambar ihsan KAB)

 

 

“Dengan kedudukan kami dalam industri tenaga mampan, kami percaya terdapat banyak peluang pada masa akan datang dalam industri tenaga solar, di mana kami akan dapat mencapai kejayaan dengan memanfaatkan pengalaman dan rekod prestasi terbukti kami dalam segmen SES.

 

“Kami percaya bahawa hala tuju perniagaan ini akan menyumbang kepada matlamat kami untuk mempercepatkan pertumbuhan segmen SES dan meningkatkan lagi profil pendapatan jangka panjang kami,” ujar beliau.

 

Pada waktu penulisan, saham KAB menokok 1.5 sen atau 4.4% kepada 35.5 sen, menilai permodalan pasarannya pada RM641.8 juta. - DagangNews.com