Komitmen kerajaan serap kos ICPT sebanyak RM5.8 bilion, positif kepada TNB  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Komitmen kerajaan serap kos ICPT sebanyak RM5.8 bilion, positif kepada TNB 

Turun naik harga bahan api dijangka tidak memberi kesan kepada pendapatan TNB. - Gambar/unsplash : Johannes Plenio
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Julai - CGS-CIMB Research mendapati para pelabur melahirkan kebimbangan terhadap mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sama ada ia akan dikekalkan dan impaknya kepada Tenaga Nasional Bhd. (TNB). 

 

Perkara itu dinyatakan firma penyelidikan berkenaan ketika pertemuannya dengan pengurusan TNB baru-baru ini. 

 

Malah, ia berkata, pelabur turut membangkitkan persoalan sama ada aliran tunai yang ketat mampu mengimbangi kenaikan harga bahan api dan potensi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi bil elektrik.

 

"Namun, kami tidak menjangkakan turun naik harga bahan api memberi kesan kepada pendapatan TNB kerana kerajaan masih beroperasi pada rangka kerja peraturan berasaskan insentif (IBR) dan mekanisme ICPT, yang membolehkan pelepasan kos penjanaan.

 

"Ini kerana dengan mekanisme ICPT diteruskan dan komitmen kerajaan untuk membiayai RM5.8 bilion kos ini kelihatan positif kepada kami kerana ia melegakan ketidaktentuan terhadap kawal selia," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada 24 Jun lalu, kerajaan mengumumkan mekanisme ICPT akan terus dilaksanakan untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022.

 

Ia seiring dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung Malaysia.

 

Keputusan itu akan menangani peningkatan ketara kos penjanaan berikutan harga bahan api yang lebih tinggi untuk membekalkan elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2022.

 

Susulan mekanisme ICPT dikekalkan, kerajaan akan menyerap tambahan kos sebanyak RM5.8 bilion yang dibayar dalam tempoh Julai hingga Disember 2022, dengan RM2.3 bilion daripadanya digunakan untuk membiayai rebat bagi pengguna domestik.

 

Selebihnya sebanyak RM3.5 bilion bagi mengekalkan surcaj 3.7 sen/kWh bagi pengguna bukan domestik berbanding surcaj penuh pada 11.81 sen/kWh.

 

CGS-CIMB berkata, kenaikan harga bahan api baru-baru ini telah menyebabkan penghutang yang lebih tinggi daripada biasa pada kunci kira-kira TNB.

 

"Tetapi, pengurusan memberi panduan bahawa aliran tunainya masih kukuh dan ia mempunyai kemudahan rizab/hutang untuk menampan pembayaran pada masa ini," jelasnya.

 

Firma itu mendapati harga arang batu akan kekal tinggi pada separuh kedua disebabkan gangguan rantaian bekalan memandangkan konflik Rusia-Ukraine masih berterusan dan permintaan jangka pendek yang lebih tinggi daripada pembukaan semula ekonomi. 

 

Harga purata penanda aras arang batu Indonesia berlegar lebih tinggi pada AS$324 satu tan metrik pada 1 Julai 2022 berbanding purata AS$225 satu tan metrik antara Januari hingga Jun 2022.

 

"Jika harga arang batu kekal tinggi, kami mengunjurkan surcaj ICPT yang lebih tinggi untuk tempoh akan datang (1 Januari hingga 30 Jun 2023).

 

"Kami melihat kesan pendapatan yang boleh diabaikan ke atas TNB daripada kenaikan kadar faedah dan kelemahan ringgit kerana 99% daripada jumlah pinjamannya adalah tetap dan lebih 75% daripada pinjamannya didenominasikan dalam ringgit," katanya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran pada RM13.30 sesaham. 

 

Setakat 3.16 petang, harga saham TNB susut 2 sen atau 0.25% kepada RM7.92 dengan 1.13 juta saham diniagakan. - DagangNews.com