Komited jayakan program DesaMall@KPLB, meterai lanjutan MoU dengan Elokal | DagangNews Skip to main content

Komited jayakan program DesaMall@KPLB, meterai lanjutan MoU dengan Elokal

ALOR SETAR 3 Sept - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memeterai pelanjutan memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Elokal Sdn. Bhd. bagi menjayakan Program DesaMall@KPLB melalui pembangunan perniagaan usahawan luar bandar.

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerjasama itu merangkumi bimbingan dan latihan kepada usahawan luar bandar, pemasaran produk secara dalam talian serta bekerjasama dengan pemain industri yang relevan untuk menjayakan DesaMall@KPLB.

 

Katanya, program tersebut adalah inisiatif KPLB yang bertujuan membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-dagang.

 

"Pertama sekali kita harap usahawan dalam kalangan masyarakat luar bandar termasuk usahawan digital dapat manfaat daripada MoU ini manakala syarikat Elokal boleh letakkan sasaran berapa ramai usahawan yang akan dilatih.

 

“Kedua, diharap ada peningkatan jualan produk usahawan luar bandar kerana MoU ini turut melibatkan institusi kewangan, jadi mungkin ada cara dan kaedah gerbang pembayaran (bagi bantu usahawan)," katanya.

 

 

AKM
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengunjungi gerai pameran Desamall@KPLB dan Elokal sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kedah bermula semalam. Turut kelihatan, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

 

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian MoU itu sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman, hari ini seperti dilapor Bernama.
 

KPLB diwakili Ketua Setiausaha kementerian Datuk Ramlan Harun manakala Elokal Sdn Bhd diwakili pengarah urusannya yang juga Pentadbir DesaMall@KPLB, Ahmad Shah Wahid.

 

Selain menyaksikan pemeteraian pelanjutan MoU itu, Mahdzir turut menyaksikan Elokal menandatangani kerjasama dengan 11 rakan strategik antaranya MaybankQR, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional, Fasspay, Foodpanda Malaysia, Lazada, Celcom dan Maxis.

 

KPLB merupakan kementerian peneraju Jelajah AKM Kedah yang berlangsung mulai semalam hingga Ahad ini. 

 

Jelajah AKM Kedah adalah edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor.

 

Penganjuran Jelajah AKM bertujuan memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan yang ditawarkan kerajaan. -DagangNews.com