Kolej UNITI tawar program 'Halal Edutourism' kepada pelajar antarabangsa, pelawa usahawan tinjau ekosistem pensijilan halal Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kolej UNITI tawar program 'Halal Edutourism' kepada pelajar antarabangsa, pelawa usahawan tinjau ekosistem pensijilan halal Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Okt - Kolej UNITI Port Dickson memperkenalkan program pengajian jangka pendek berkaitan halal kepada pelajar antarabangsa khususnya dari Indonesia bermula tahun depan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, program pengajian di bawah inisiatif 'mobiliti/edutourism' itu bukan sahaja akan membantu kerajaan meningkatkan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia tetapi juga mengembangkan potensi halal dalam kalangan industri tempatan.

 

Katanya, program yang bakal dijenamakan sebagai 'Halal Edutourism' itu memberi peluang kepada pelajar terlibat merasai pengalaman menuntut di kampus Kolej UNITI Port Dickson dan pada masa sama, mengetahui secara langsung ekosistem pensijilan halal yang dilaksanakan di Malaysia.

 

"Selain berkunjung ke lokasi pelancongan menarik, kami juga merancang membawa pelajar terbabit ke restoran-restoran halal popular dan menginap di hotel yang mempunyai pensijilan halal.

 

"Melalui pendekatan seperti ini, mereka akan melihat bagaimana dan sejauh mana sistem pensijilan halal di Malaysia dipraktikkan secara menyeluruh iaitu bukan sahaja melibatkan makanan dan minuman semata-mata," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu Atase Pendidikan, Education Malaysia (EM) Indonesia, Zulfadhli Hamzah merasmikan reruai Kolej UNITI Port Dickson dan UNITI Halal Centre di Ekspo Halal Indonesia 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta 25 hingga 29 Oktober ini.

 

Menurut Amir Hamzah, program Halal Edutourism tersebut akan dilaksanakan oleh pasukan Pusat Kecemerlangan Halal UNITI (UHAC) yang terdiri daripada pakar-pakar pensijilan halal negara.

 

 

kolej uniti

 

 

"Kolej UNITI Port Dickson merupakan institut pengajian tinggi (IPT) pertama di negara ini yang menawarkan program pengajian Diploma Pengurusan Industri Halal iaitu pada 2013, sebelum mana-mana IPT awam dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) lain menawarkan program seumpama di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda. 

 

"Kolej UNITI Port Dickson juga sejak 2017 diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai penyedia latihan halal yang mendapat perakuan Majlis Halal Malaysia. Melalui UHAC, kami aktif menawarkan kursus pensijilan profesional halal termasuk Halal Executive, Halal Internal Auditing dan Halal Competency," katanya.

 

Beliau berkata, Kolej UNITI Port Dickson menerima banyak permintaan dalam kalangan pelajar antarabangsa terutama di rantau Asia Tenggara, China, Asia Timur dan Asia Tengah khususnya negara-negara yang penduduk majoriti umat Islam untuk mengikuti program-program jangka pendek berkaitan halal ditawarkan IPT itu.

 

 

kolej uniti

 

 

"Buat permulaan, kami akan mempromosikan program Halal Edutourism ini kepada pelajar di Indonesia dengan menyasarkan segmen pelajar sekolah menengah dan mahasiswa yang sedang menuntut di IPT.

 

"Bagaimanapun, UHAC turut mempelawa pihak industri berkaitan di sini dan bersedia membawa usahawan-usahawan kecil dan sederhana di Indonesia yang berminat mengetahui mengenai pensijilan halal dan rantaian industri halal di Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, Zulfadhli pula berkata, EM Indonesia mengalu-alukan inisiatif terbabit dan pihaknya bersedia membantu dan memudahcara untuk merealisiasikannya.

 

"Program Halal Edutourism tersebut sangat berpotensi ditawarkan di republik ini memandangkan sebelum ini, tiada pihak atau IPT termasuk IPTA dari Malaysia menawarkan program seumpamanya.

 

"Ia sangat menarik dan jika ditawarkan dengan kadar yuran berpatutan, ramai pelajar sekolah mahupun universiti di sini akan menyertainya sekali gus menarik minat mereka menyambung pengajian dalam bidang berkaitan halal di Malaysia kelak," katanya.

 

Tambah Zulfadhli, Kolej UNITI Port Dickson juga boleh terus berperanan sebagai entiti penghubung antara usahawan-usahawan dan pihak berkepentingan halal dari kedua-dua buah negara.

 

"Kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Kolej UNITI Port Dickson melalui UHAC wajar digembleng dan saya percaya dengan kesungguhan yang ditunjukkan melalui penyertaan di Ekspo Halal Indonesia, IPT ini boleh berperanan lebih daripada sekadar sebuah institusi pendidikan tinggi," katanya. - DagangNews.com