Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Dis. - Pasaran saham Malaysia terus menunjukkan prestasi meningkat pada suku terakhir tahun 2020.
Setakat 9 pagi, indeks pasaran tempatan, FBM KLCI menokok 0.10 mata atau 0.01% pada awal dagangan mencecah 1,684.68 daripada paras ditutup Jumaat lalu, 1,684.58.
Pergerakan menaik Bursa Malaysia dipengaruhi oleh sentimen perkembangan vaksin COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) yang sekali gus melonjakkan saham di pasaran serantau.
Menerusi trend menaik ini, tidak mustahil untuk pasaran saham tempatan melepasi paras 1,700 menjelang akhir tahun ini.
Menurut Reuters, pasaran saham di AS melonjak memandangkan para pelabur meletakkan harapan terhadap langkah rangsangan fiskal tambahan dan dasar monetari.
Selain itu, perkembangan baik dalam vaksin COVID-19 turut mempengaruhi pergerakan pasaran.
AS menyaksikan usaha pengedaran vaksin pertama di seluruh negara sebahagian daripada misi untuk vaksinasi lebih daripada 100 juta rakyatnya menjelang penghujung Mac 2021.
Niaga hadapan E-Mini bagi S&P 500 turut meningkat 0.5%, manakala indeks Asia Pasifik MSCI melonjak 0.1%.
Dalam pada itu, saham di Jepun pula menokok 0.4% setelah kaji selidik menunjukkan perniagaan yang terjejas di negara itu mula bertambah baik pada Disember. - DagangNews.com








