Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Tidak mampu bertahan lebih lama, pagi ini dagangan pasaran tempatan kembali jatuh di bawah paras 1,500 mata ekoran perkembangan terkini politik yang berlaku malam tadi,
Indeks utama FBM KLCI setakat 9.26 pagi ini susut 6.05 mata kepada 1,494.21 mata berbanding penutupan semalam pada 1,500.26 mata setelah meningkat 7.26 mata.
Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan
mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin ternyata gagal di mata rakyat dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
Mengulas mengenai pasaran hari ini, Inter-Pacific Research berkata, meskipun pasaran kembali pulih semalam tetapi ia masih dalam mood berhati-hati ekoran perkembangan politik tanah air yang mana kerajaan dilaporkan hilang majoriti.
"Kemelut politik akan terus mempengaruhi keadaan pasaran bagi tempoh lama, justeru, kami berpendapat terdapat pembelian ekoran ketidaktentuan yang semakin meningkat ini," katanya dalam nota kajian.
Sehubungan itu, firma itu menjangkakan paras sokongan kini berlegar antara 1,493 dan 1,490 manakala paras rintangan pula pada 1,508 dan 1,516.
Setakat ini, pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung pada 408 berbanding 76 dengan 227 kaunter tidak berubah. Jumlah dagangan sebanyak 328.12 juta bernilai RM143.05 juta.
Dalam kalangan kaunter aktif, saham Advance Synergy Bhd mendahului dagangan dengan diniagakan pada 17.5 sen setelah menokok 0.10 sen.
Ia diikuti saham Kelington Group Bhd. menokok 0.25 sen kepada 33 sen, Seal Incorporated Bhd., naik 0.80 sen kepada 47 sen dan MAG Holdings Bhd. pula menokok 0.05 sen kepada 19 sen.
Genetec Technology Bhd. pula mendahului cara kaunter untung dengan diniagakan tinggi pada RM23.16 setelah meningkat 16 sen dengan 57,500 saham diniagakan.
Saham British American Tobacco (Malaysia) Bhd. juga diniagakan tinggi pada RM14.66 dengan menokok 12 sen diikuti SAM Engineering Equipment (M) Bhd., menokok 10 sen kepada RM10.90.
Bagaimanapun, saham Hartalega Holdings Bhd. dijangka menjadi tumpuan hari ini setelah untung bersih syarikat ini melonjak 9 kali ganda pada suku pertama berakhir 30 Jun 2021.
Setakat ini, sahamnya diniagakan pada RM6.87 setelah menokok 70 sen dengan 989,600 saham diniagakan.
Sebaliknya, saham Kuala Lumpur Kepong (KLK) Bhd. mendahului kaunter rugi dengan menyusut 26 sen kepada RM19.04 dengan 12,700 saham diniagakan.
Selain itu, saham Heineken Malaysia Bhd. susut 24 sen kepada RM21.98 diikuti Hong Leong Financial Group susut 22 sen kepada RM17.08.
Antara tumpuan pasaran hari ini termasuklah HB Global Ltd, Dufu Technology Corp Bhd, HPP Holdings Bhd, Kanger International Bhd, Berjaya Land Bhd (BLand) dan Berjaya Food Bhd (BFood).
Sementara itu, Bloomberg melaporkan, pasaran saham Asia dibuka dengan berhati-hati berikutan sekatan China terhadap gergasi teknologinya, penularan varian Delta dan juga kelemahan harga minyak mentah. - DagangNews.com


