KKB Engineering terima kontrak RM111.6 juta daripada Samsung Engineering | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KKB Engineering terima kontrak RM111.6 juta daripada Samsung Engineering

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - KKB Engineering Bhd melalui anak syarikatnya OceanMight Sdn Bhd telah menerima kontrak tempahan pembelian daripada Samsung Engineering (M) Sdn Bhd.

 

Kontrak tersebut dianggarkan bernilai RM111.6 juta melibatkan fabrikasi modul dan pembekalan struktur keluli untuk projek loji gas pesisir Shell R&M Malaysia di Bintulu, Sarawak.

 

Dalam makluman syarikat di Bursa Malaysia hari ini, projek tersebut dijadualkan siap dalam suku ketiga 2024.

 

KKB menambah bahawa kontrak itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersihnya sepanjang tempoh kontrak.

 

“Dalam pengetahuan kami, tiada seorang pun pengarah dan/atau pemegang saham utama dan/atau orang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak dinyatakan di atas,” tambahnya.

 

Setakat pukul 2:55 petang hari ini, harga saham KKB Engineering tidak berubah pada RM1.40 sesaham, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM404.22 juta. -DagangNews.com