KUALA LUMPUR 20 Dis - Inisiatif Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membina kilang sawit pintar dengan kerjasama Fusionex Group, dijangka siap pada akhir 2024 dan mula beroperasi pada awal 2025.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pembinaan kilang berkeluasan 10 hektar di Keratong, Pahang, akan mengambil masa kira-kira 18 bulan.
Katanya, kerjasama pembinaan kilang berkapasiti 30 tan sejam di Stesen Penyelidikan MPOB, adalah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Revolusi Industri 4.0 dalam pengeluaran minyak sawit mentah.
“Konsep kilang ini dapat menghasilkan tenaga kerja mahir yang cekap dalam penggunaan sistem automasi dalam kilang sawit.
"Selain itu, ia akan mengeluarkan minyak sawit mentah secara efektif dan produktif serta membangunkan teknologi pengurusan sisa buangan sawit yang mesra alam," katanya seperti dilapor Bernama selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Mengenai Alam Sekitar, Kualiti Pengilangan dan Penapisan Minyak Sawit 2022 (POMREQ 2022), hari ini.

Dengan pembinaan kilang pintar itu, tenaga kerja manual seperti pengambilan sampel bagi tujuan pengujian dapat dikurangkan sehingga 30%.
Konsep kilang itu juga berbentuk modular yang boleh digunapakai oleh kilang syarikat lain yang mahu meningkatkan kecekapan tanpa perlu pengubahsuaian keseluruhan kilang.
Menurut Ahmad Parveez, dari segi pengeluaran, kadar perahan minyak (OER) dijangka meningkat sehingga 22 hingga 23% iaitu melebihi 19 hingga 20% kadar purata ketika ini.
Menyentuh mengenai isu kekurangan tenaga kerja di ladang sawit, beliau berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kemasukan terbabit biarpun jumlahnya masih belum mencukupi.
Jelasnya, bilangan pengurangan tenaga kerja adalah sebanyak 200,000 sedangkan kemasukan yang dilaporkan oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia sekitar belasan ribu orang.
“Saya berharap jika tidak semua, sekurang-kurangnya isu kekurangan tenaga kerja ini dapat diselesaikan pada tahun depan.
“Kita juga akan sentiasa berhubung dengan negara sumber lain seperti India, Bangladesh dan Nepal serta kurangkan kebergantungan kepada negara sebelum ini seperti Indonesia," katanya.
Mengenai prospek harga minyak sawit mentah, beliau menjangkakan harga akan kembali stabil kepada RM4,000 satu tan.
Menurutnya, harga masih lagi di sekitar RM4,000 satu tan sekarang, berikutan faktor seperti ketidaktentuan konflik Ukraine-Rusia dan mandat terbaru di Indonesia dari segi peningkatan biodiesel.
"Namun, ia boleh mencecah sehingga RM4,500 satu tan jika terdapat krisis lain yang mungkin meningkatkan lagi harga minyak sawit mentah.
“Ini memandangkan terdapat lebih 50% penghasilan minyak makanan di dunia yang dikuasai oleh sawit dan sebarang kemungkinan akan memberi kesan kepada pergerakan harganya,” jelasnya. -DagangNews.com








