Kidzania perkenal tiga rakan kerjasama tawar tarikan baharu kepada kanak-kanak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kidzania perkenal tiga rakan kerjasama tawar tarikan baharu kepada kanak-kanak

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai -  KidZania Kuala Lumpur mengumumkan penambahan tiga rakan kerjasama dinamik, Pandamart, Restoran Teishoku Jepun YAYOI dan Jac & Ivy untuk menarik minda golongan kanak-kanak dengan memperkenalkan pelbagai kerjaya, serta memupuk rasa ingin tahu dalam persekitaran yang menarik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sim Leisure, Philip Whittaker berkata, pembelajaran tidak pernah terhenti di KidZania Kuala Lumpur, dan pihaknya bersemangat untuk melibatkan rakan kerjasama baharu untuk mencipta aktiviti inovatif untuk para pengunjung muda.

 

Katanya, dengan pelbagai peluang pekerjaan dan aktiviti yang menunggu untuk diterokai, kanak-kanak berpeluang untuk belajar, bermain, meningkatkan kemahiran, dan menyemarakkan imaginasi mereka. 

 

"Rakan kerjasama baharu ini membawa sesuatu yang unik kepada KidZania, memastikan minda kanak-kanak sentiasa dirangsang dan terlibat dengan aktiviti yang disediakan sepanjang lawatan mereka," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Dengan kemasukan Pandamart, Restoran Teishoku Jepun Yayoi, dan Jac & Ivy, KidZania Kuala Lumpur mengukuhkan komitmennya untuk memberi inspirasi kepada minda muda dan membentuk pemimpin masa depan.

 

Pandamart disepadukan ke dalam bandar KidZania untuk menawarkan kanak-kanak satu peluang bagi melibatkan diri dalam dunia e-dagang yang menarik, yang membolehkan mereka memperoleh pemahaman menyeluruh tentang logistik di sebalik pesanan dan penghantaran barangan runcit. 

 

Restoran Teishoku Jepun YAYOI pula memberikan pengalaman dwi-peranan yang unik untuk kanak-kanak. Mereka boleh menjadi cef sushi untuk mengasah kemahiran dan kreativiti memasak, atau menjadi pelanggan untuk mencuba pelbagai cita rasa yang berbeza.

 

 

kidzania

 

 

kidzania

 

 

Jac & Ivy, perintis Kidz Spa yang pertama di Malaysia, membawa pengalaman yang menarik ke KidZania Kuala Lumpur, yang mana kanak-kanak boleh mempelajari tentang kepentingan penjagaan diri sejak kecil, dandanan serta kebersihan diri, dan kuasa ekspresi diri dalam memupuk keyakinan diri.

 

 

kidzania

 

 

KidZania Kuala Lumpur terkenal dengan kaedah bermain melalui pendekatan pembelajaran, menggalakkan semangat ingin tahu kanak-kanak dan memupuk perkembangan mereka melalui aktiviti amali. 

 

Kemasukan rakan kerjasama baharu ini akan memperkenalkan peluang baharu untuk kanak-kanak menerokai kerjaya yang berbeza dalam setiap lawatan, seterusnya memberikan pengalaman yang menarik. - DagangNews.com