KUALA LUMPUR 31 Mei - Pakar pengurusan fasiliti pembinaan dan bersepadu, Widad Group Bhd. mencatat pendapatan sebanyak RM52.04 juta bagi suku pertama (Q1) berakhir 31 Mac 2022, tertinggi yang pernah dicapai untuk suku tersebut.
Prestasi kukuh juga ditunjukkan pada asas kewangan syarikat, dengan keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak hampir 7 kali ganda kepada RM6.41 juta daripada RM938,000 bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala margin PAT juga meningkat kepada 12.3% daripada 5.4%.
Didorong oleh pertumbuhan operasi teras yang teguh dalam ketiga-tiga segmen perniagaan, pendapatan kumpulan pada suku berkenaan meningkat 203% tahun ke tahun daripada RM17.22 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi kukuh itu dicapai apabila perniagaan kumpulan pulih daripada aktiviti perlahan disebabkan perintah kawalan pergerakan yang dialami pada awal 2021.
Asas kumpulan bertambah baik dengan ketara disebabkan pembayaran balik potongan tuntutan dalam segmen Pengurusan Fasiliti Bersepadu (IFM) berjumlah RM2 juta, pendapatan kewangan bersih daripada perniagaan konsesi sebanyak RM2.8 juta dan caj daripada perbelanjaan berkaitan sukuk berjumlah RM7.2 juta.
Dari segi segmen, perniagaan pembinaan Widad pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 menyaksikan pendapatannya melonjak lebih 13 kali ganda tahun ke tahun kepada RM24.58 juta.
Perniagaan IFM mencatatkan hasil sebanyak RM24.91 juta, mewakili pertumbuhan 62% tahun ke tahun manakala segmen konsesi mencatatkan pendapatan RM2.6 juta.

Mengulas mengenai prestasi kewangan kumpulan, Pengarah Urusan Widad, Datuk Dr. Mohd. Rizal Mohd. Jaafar dalam kenyataan hari ini, keputusan suku pertama adalah bukti kepada strategi perniagaan yang telah dilaksanakan kumpulan.
Katanya, dengan unjuran pemulihan dalam aktiviti ekonomi, termasuk dalam pembinaan dan landskap IFM, kumpulan yakin dapat meneruskan momentum pada suku tahun akan datang.
"Sebagai syarikat pembinaan tersenarai ketujuh terbesar di Malaysia pada masa ini, kami juga positif bahawa WBG mampu memenangi kontrak utama, terutamanya dengan penerusan dan pecutan projek infrastruktur utama di negara ini.
"Kami juga sedang meninjau untuk mengembangkan perniagaan kami melalui tender, terutama yang mempunyai margin yang lebih baik, dan pemerolehan perniagaan strategik yang akan mengembangkan asas pendapatan dan kepakaran teknikal kami.
"Semoga dengan pertumbuhan perniagaan yang teguh, WBG akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya dengan pembayaran dividen yang baik dan mampan," katanya.
Sehingga 31 Mac 2022, nilai kontrak kumpulan berjumlah RM1.52 bilion dan mampu memberi pendapatan sehingga 2034.
Kumpulan juga sedang giat membida tender baharu di seluruh negara, dengan saiz tempahan tender RM1.54 bilion dan berharap untuk memenangi sekurang-kurangnya 10% daripada bidaan tender baharu ini. - DagangNews.com








