Keuntungan FY22 Mah Sing meningkat 12% kepada RM180 juta didorong segmen pembangunan hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan FY22 Mah Sing meningkat 12% kepada RM180 juta didorong segmen pembangunan hartanah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Mah Sing Group Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 12% kepada RM180 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding RM160.86 juta.

 

Pendapatannya pula melonjak 32% kepada RM2.32 bilion pada FY22 daripada RM1.75 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu menyasarkan jualan sebanyak RM2.2 bilion untuk tahun ini susulan kejayaan syarikat merekodkan peningkatan jualan hartanah sebanyak 32.2% atau RM12.12 bilion pada tahun lepas, jumlah tertinggi sejak 2016.

 

Menurut Mah Sing, peningkatan tersebut didorong oleh segmen pembangunan hartanah yang merekodkan keuntungan operasi yang melonjak sebanyak 30.4% (RM338.7 juta) dan pendapatan syarikat sebanyak 37.1%  (RM1.84 bilion) berbanding tahun sebelumnya.

 

“Peningkatan tersebut terutamanya didorong jualan hartanah yang lebih tinggi dan pengiktirafan pendapatan projek hartanah yang sedang dalam pembinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tambahnya, jualan tidak dibilkan kira-kira RM2.18 bilion akan terus menyokong kecairan dan memberi keterlihatan pendapatan masa hadapan kumpulan.

 

Sementara itu, kumpulan itu juga mencatatkan peningkatan keuntungan bersih pada suku keempat bagi tahun kewangan 2022 (4QFY22) sebanyak 16.9% kepada RM46.78 juta, manakala pendapatannya melebar 24.8% kepada RM670.9 juta bagi tempoh yang sama.

 

Segmen projek pembangunan hartanah merupakan penyumbang utama kepada hasil syarikat, manakala segmen pembuatan mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 19.17% atau RM441.3 juta berikutan permintaan berterusan untuk palet plastik dan alat ganti automotif.

 

Kumpulan itu juga bercadang untuk memberi dividen pertama dan terakhir sebanyak 3 sen sesaham bagi FY22, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan akan datang.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Datuk Seri Leong Hoy Kum berkata, kumpulan itu berada di landasan yang betul dengan bertumpukan perumahan mampu milik M-Series.

 

Menurutnya, kejayaan jualan M Astra di Setapak sebanyak 95% cukup meyakinkan kumpulan bahawa pelancaran baharu enam kawasan perumahan miliknya tahun ini akan mendapat sambutan.

 

“Pengecualian duti setem untuk pemilikan rumah pertama dan 75% diskaun untuk duti setem ke atas jual beli hartanah antara RM500,001 kepada RM1 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 akan menarik minat pembeli dan menjadi petanda baik untuk kami,” katanya.

 

Kunci kira-kira kumpulan itu kekal sihat dan mereka akan terus mencari lebih banyak tanah untuk mengembangkan portfolio.

 

“Pada Januari lalu, kumpulan telah memperoleh tanah di Puchong untuk dibangunkan dengan projek baharu M Terra dan M Hana serta kami akan terus meninjau dan memperoleh tanah bagi mengukuhkan lagi portfolio M-Series dan memperkenalkan kempen jualan yang lebih bermanfaat untuk pelanggan,” ujarnya.

 

Perolehan projek daerah persekitaran transit (TED) untuk membangunkan kedua-dua projek tersebut dianggarkan berjumlah lebih kurang RM726 juta nilai pembangunan kasar (GDV). -DagangNews.com