Keuntungan bersih Q2 Pentamaster dijangka susut 33%, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Keuntungan bersih Q2 Pentamaster dijangka susut 33%, kata CGS-CIMB

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan keuntungan bersih syarikat kejuruteraan dan automasi, Pentamaster Corporation Berhad (Pentamaster) merosot 33% bagi suku kedua tahun ini didorong oleh penurunan jumlah penghantaran kepada pelanggan. 

Pentamaster dijangka mengeluarkan laporan kewangan suku kedua 2020 pada 14 Ogos depan.

“Ini adalah berikutan sekatan perjalanan COVID-19 masih lagi dilaksanakan sekali gus menghalang jurutera syarikat untuk pergi ke lokasi pelanggan dan menyebabkan kelewatan jadual penghantaran dan pemasangan teknologi.

“Namun, kami menjangkakan hasil Pentamaster akan melonjak semula pada separuh kedua 2020 susulan penghantaran tempahan yang tertangguh telah beroperasi seperti biasa, termasuk ke Singapura dan Taiwan sejak Julai lalu,” jelas analisis CGS-CIMB.

Permintaan sensor pintar baharu dalam telefon pintar, tablet dan peranti boleh dipakai akan menyumbang kepada pemulihan jualan syarikat. 

 “Kami menganggarkan pertumbuhan hasil syarikat sebanyak 37% bagi tempoh separuh kedua tahun ini,” tambah CGS-CIMB.

Dalam pada itu, CGS-CIMB turut memuji strategi jangka masa panjang syarikat itu yang menceburi bidang perubatan menerusi anak syarikatnya, Pentamaster MediQ Sdn. Bhd. 

Pentamaster telah memperuntukkan RM60 juta bagi pembangunan dua produk perubatan iaitu jarum keselamatan berganda untuk suntikan insulin dan kateter keselamatan intravena bagi kawalan cecair dan pengeluaran darah. 

Teknologi itu dijangka mampu menyumbang 10% hingga 20% kepada jualan syarikat bagi tahun 2021 dan 2022.

Pentamaster menjangkakan teknologi itu dapat dipasarkan pada awal tahun depan selepas menerima kelulusan Agensi Makanan dan Dadah (FDA) di Amerika Syarikat (AS) dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA). - DagangNews.com