KeTSA seru semua pihak main peranan pemuliharaan Tapir Malaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KeTSA seru semua pihak main peranan pemuliharaan Tapir Malaya

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyeru semua pihak untuk sama-sama memainkan peranan dalam pemuliharaan Tapir Malaya bersempena sambutan Hari Tapir Sedunia 2022, hari ini.

 

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, peranan yang boleh dimainkan termasuk menjaga habitat haiwan berkenaan dan memperlahankan kenderaan masing-masing apabila melalui kawasan yang mempunyai papan tanda hidupan liar melintas.

 

"Marilah kita melindungi khazanah negara kita yang tidak ternilai ini untuk diwariskan kepada generasi masa depan.

 

“Malaysia bertuah kerana mempunyai spesies Tapir Malaya yang merupakan spesies tapir terbesar di dunia. Tapir Malaya berbeza dengan spesies tapir lain di dunia kerana ia merupakan satu-satunya spesies tapir yang mempunyai dua warna yang jelas iaitu hitam dan putih apabila meningkat dewasa.

 

“Tapir Malaya merupakan salah satu spesies ikonik di Malaysia yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Tapir Malaya merupakan spesies yang terancam dalam senarai IUCN Red List of Threatened Species dan Redlist of Mammals for Peninsular Malaysia 2017," katanya dalam satu kenyataan.

 

Hari Tapir Sedunia atau ‘World Tapir Day’ disambut pada 27 April setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan spesies tapir dan habitatnya.

 

Takiyuddin berkata, KeTSA melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia akan terus mempergiatkan usaha pemuliharaan in-situ Tapir Malaya dengan mengukuhkan perlindungan habitat dan koridor ekologi.

 

"Ini termasuk melaksanakan inventori serta menguruskan konflik melalui operasi menyelamat dan memindah, memasang jalur rentas kuning, solar cahaya ambar dan papan tanda hidupan liar melintas di beberapa lokasi yang dikenal pasti," katanya.

 

 

takiyuddin

 

 

Dalam aspek konservasi ex-situ, beliau berkata program pembiakan Tapir Malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor telah menghasilkan 18 kelahiran dalam kurungan manakala 14 ekor Tapir Malaya yang diselamatkan akibat konflik dengan manusia telah dilepaskan semula ke habitat semula jadi sejak 2008.

 

Katanya, usaha juga akan terus diperkasakan melalui penubuhan Pusat Konservasi Tapir di Kenaboi, Negeri Sembilan yang dijangka siap pada 2025. - DagangNews.com