KetSA cadang pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar - Takiyuddin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KetSA cadang pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar - Takiyuddin

Gambar Tenaga Nasional Berhad (TNB)

KUALA LUMPUR 20 Julai -  Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar untuk tempoh kitaran Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang akan datang.

 

Menteri berkenaan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selain itu merancang mengutamakan penggunaan bahan api paling murah untuk penjanaan elektrik yang merupakan antara pelan mitigasi jangka panjang bagi mengatasi krisis tenaga global dan kos ICPT yang dijangka meningkat. 

 

"Sekarang ini semua sama (golongan) M40 pun (menerima rebat) dua sen setiap kilowatt per jam (kWj), B40 dua sen dan T20 pun dua sen, semua menikmati rebat dua sen ini dalam bekalan elektrik negara kita.

 

"Tapi masa akan datang mungkin diperlukan bersasar, mungkin T20 akan dikenakan surcaj atau ICPT ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini. 

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai langkah kementerian untuk melindungi rakyat yang berhadapan dengan krisis tenaga global sehingga menyebabkan peningkatan kos harga bahan api, Bernama melaporkan.

 

 

takiyuddin
Datuk Seri Takiyuddin Hassan

 

 

Pada 24 Jun lepas, kerajaan bersetuju untuk menampung subsidi elektrik berjumlah RM5.8 bilion bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis  2022 meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api di pasaran global sebagai langkah mitigasi jangka pendek berdepan krisis tenaga global. - DagangNews.com