Ketidaktentuan konflik Rusia-Ukraine, harga minyak mentah Brent diunjur lebih tinggi bagi 2022-2024  | DagangNews Skip to main content

Ketidaktentuan konflik Rusia-Ukraine, harga minyak mentah Brent diunjur lebih tinggi bagi 2022-2024 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Mac - RHB Research menaikkan unjuran harga minyak mentah Brent tahun ini kepada AS$104 setong berbanding AS$90 setong sebelum ini ekoran ketidaktentuan konflik Rusia-Ukraine dan juga pengembangan kapasiti Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

 

Malah, unjuran bagi 2023 dan 2024 juga masing-masing disemak lebih tinggi kepada AS$85 setong dan AS$75 setong berbanding AS$75 dan AS$70 setong sebelum ini. 

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Sean Lim menganggap krisis yang berlarutan dengan konflik yang dibendung dalam sempadan Ukraine dan bahawa Rusia tidak menggunakan sumber minyak dan gas serta bekalannya ke Eropah.

 

"Kami mengandaikan 2 hingga 2.5 juta tong sehari gangguan minyak Rusia sehingga akhir 2022 dan harga minyak diunjurkan pada purata AS$100 setong pada separuh kedua 2022.

 

"Ini memandangkan inventori Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dijangka kekal pada paras purata 2010-2014," katanya.

 

Malah, beliau juga percaya, OPEC kekal utuh dan peningkatan pengeluaran semasa yang dijadualkan akan membolehkan ahli OPEC+ (OPEC dan sekutu) meningkatkan pengeluaran mereka dan memanfaatkan harga minyak yang lebih tinggi.

 

Katanya, jurang antara pengeluaran OPEC+ dan tahap sasarannya meningkat kepada 1 juta tong sehari sehari pada Februari, justeru, pasaran minyak secara teori dianggarkan mempunyai lebihan purata sebanyak 200,000 tong sehari pada 2022.

 

"Risiko penurunan adalah bergantung kepada skala sekatan pergerakan yang dilaksanakan di China dan penarikan semula sekatan terhadap Iran.

 

"Sebaliknya, pengharaman sepenuhnya terhadap minyak Rusia oleh negara-negara Eropah akan menyebabkan harga melonjak ke paras tertinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini iaitu AS$150 setong.

 

"Tetapi, trend harga yang tidak dapat dihalang ini, akhirnya meningkatkan risiko berlakunya kemelesetan global," jelasnya.

 

Namun, secara keseluruhan beliau mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G).

 

Menurutnya, kenaikan harga minyak akan memberi petanda baik kepada pemulihan sektor dengan jangkaan perbelanjaan modal (capex) dan operasi (opex) yang lebih tinggi oleh pelanggan.

 

Lim berpendapat, Petronas akan meningkatkan peruntukan capex antara RM40 hingga RM50 bilion tahun ini berikutan harga minyak yang lebih kukuh di sebalik capex yang lebih rendah sejak 2020-2021 sekitar RM30.5 hingga RM33 bilion. 

 

"Memandangkan harga komoditi dijangka kekal tinggi dalam tempoh 2 tahun akan datang, kami juga berpandangan Petronas mempunyai keupayaan untuk membayar dividen khas kira-kira RM10 hingga RM20 bilion bagi 2022-2023, bagi membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan tanpa kemerosotan ketara kepada kedudukan tunai bersihnya," katanya.

 

Beliau juga melihat pemain industri berkaitan penyelenggaraan berkemungkinan pulih dengan lebih cepat berbanding fabrikasi memandangkan Petronas tidak agresif mengembangkan projek greenfield, sebaliknya menumpukan untuk meningkatkan pengeluaran.

 

"Kami kekal yakin terhadap pemain segmen pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung ekoran permintaan yang kukuh dan pendapatan berdaya tahan, justeru, Yinson Holdings Bhd. kini merupakan pilihan utama kami bagi sektor ini. 

 

"Untuk segmen hiliran, Petronas Chemicals Group Bhd. dilihat terus mendapat manfaat daripada harga juala purata (ASP) yang kukuh memandangkan pengaturan bahan mentah yang unik dengan Petronas, yang menawarkan kos bahan bahan mentah yang kompetitif," katanya. - DagangNews.com