Ketidakstabilan harga komoditi dijangka beri kesan terhadap pendapatan Hap Seng Plantations, kata Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidakstabilan harga komoditi dijangka beri kesan terhadap pendapatan Hap Seng Plantations, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - Kenanga Research menjangkakan Hap Seng Plantations Holdings Berhad dijangka berdepan pelbagai cabaran pada masa hadapan termasuk turun naik harga komoditi memberi kesan terhadap pendapatan kumpulan itu pada masa hadapan.

 

Katanya, permintaan bekalan minyak boleh makan global pada 2024 diunjur kekal mencabar dengan permintaan kembali antara 3% hingga 4% aliran pertumbuhan.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan bekalan mencabar disebabkan cuaca kering semasa yang menjejaskan penanaman soya Brazil manakala hasil kelapa sawit Asia Tenggara terjejas oleh pokok yang semakin tua.

 

"Selain itu, kumpulan itu juga berdepan cabaran lain seperti keadaan cuaca tidak menentu dan inflasi kos pengeluaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil kumpulan itu bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) turun 9.6% kepada RM164.56 juta daripada RM181.99 juta setahun lalu, terutamanya disebabkan oleh harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah tetapi dikurangkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi bagi semua produk sawit.

 

Hap Seng Plantations dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ASP minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) bagi suku semasa masing-masing berjumlah RM3,924 satu tan dan RM2,142 satu tan — lebih rendah daripada suku tahun sebelumnya iaitu RM5,219 satu tan bagi MSM dan RM2,543 satu tan bagi PK.

 

Untung bersih teras 9MFY23 kumpulan itu (tidak termasuk keuntungan nilai wajar RM11 juta) memenuhi jangkaan firma penyelidikan itu pada 72% daripada ramalan setahun penuh tetapi pasaran mengecewakan pada hanya 65% daripada anggaran konsensus setahun penuh.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 6% kepada RM1.70 berbanding RM1.80 sesaham.- DagangNews.com