Ketegangan perdagangan AS-China peluang bagi SKP Resources kukuhkan hasil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketegangan perdagangan AS-China peluang bagi SKP Resources kukuhkan hasil

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Julai - TA Securities menjangkakan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS) - China yang berterusan akan terus memberikan peluang terbaik kepada SKP Resources Berhad dengan pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu yakin dapat mencatatkan pendapatan yang lebih kukuh untuk tahun kewangan 2025 (FY25).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan kadar tarif AS baru-baru ini daripada 25% kepada 50% ke atas import semikonduktor tertentu dari China telah mendorong pelbagai syarikat untuk mempelbagaikan operasi mereka ke negara lain. 

 

Sehubungan itu katanya, dalam pertemuan baru-baru ini, pihak pengurusan SKP memberi petunjuk bahawa kumpulan itu telah menerima lebih banyak pertanyaan perniagaan untuk menyediakan perkhidmatan pemasangan untuk produk isi rumah. 

 

"Pada masa ini, kilang baharu (Tapak 5) di Johor Bahru masih mempunyai ruang lantai yang luas untuk menampung pelanggan baharu. 

 

"Pengurusan juga mendedahkan bahawa kumpulan itu kini sedang berbincang dengan beberapa bakal pelanggan untuk mengisi ruang," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

TA Securities dalam pada itu tetap yakin tentang prospek SKP disokong oleh pesanan yang lebih baik daripada pelanggan utamanya. 

 

skp

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, selain itu, kumpulan berkenaan baru-baru ini berjaya mendapatkan dua pelanggan baharu, dengan anggaran jumlah pendapatan tahunan sekitar RM140 juta.

 

"Pengeluaran komersial untuk pelanggan baharu akan bermula tidak lama lagi. 

 

"Walaupun sumbangan pendapatan sebenar daripada dua pelanggan baharu ini agak kecil, kami percaya bahawa pelaksanaan yang berjaya boleh membawa kepada volum pesanan yang lebih tinggi di kemudian hari," jelasnya.

 

TA Securities dalam pada itu mengekalkan saranan 'Beli' saham SKP Resources pada harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.43.

 

"Ramalan pendapatan FY25 hingga FY27 dikekalkan," kata firma penyelidikan itu. - DagangNews.com