KUALA LUMPUR 28 Feb - Untung bersih Genetec Technology Bhd. susut 30.2% kepada RM12.76 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2022 daripada RM18.28 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini disebabkan kerugian kadar tukaran asing dan margin produk campuran yang lebih lemah, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Pendapatan kumpulan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 30.5% kepada RM85.15 juta berbanding RM65.26 juta.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Disember 2022, keuntungan bersih Genetec meningkat 31.3% kepada RM56.31 juta daripada RM42.77 juta manakala pendapatan meningkat 38.9% kepada RM229.02 juta daripada RM164.86 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Mengenai prospek kumpulan, Genetec telah mempersiapkan keupayaan, melabur dalam penyelidikan dan pembangunan serta pengembangan kapasiti untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan utama khususnya daripada sektor kenderaan elektrik (EV) dan simpanan tenaga (ES).
Menurutnya, kumpulan bersedia untuk mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) pada suku seterusnya.
Ini berikutan kejayaan projek perintis kumpulan, membolehkan Genetec meningkatkan pengeluaran dan portfolio dengan cepat dalam BESS.
"Susulan usaha awal kami, kumpulan yakin dengan keupayaan untuk memenuhi permintaan dan persaingan yang semakin meningkat.
"Aspirasi kami juga disokong dengan kejayaan usaha mengumpul dana sebanyak RM177.99 juta melalui langkah penempatan persendirian yang baru-baru ini selesai pada 15 Februari 2023,” katanya. - DagangNews.com








