KUALA LUMPUR 30 Mei - Pemain teknologi kewangan serantau, Boost dan perniagaan jalur lebar di Indonesia, Link Net yang terus mengalami kerugian menjadi perhatian utama MIDF Research terhadap Axiata Group Berhad dalam tahun kewangan 2024 (FY24).
Firma penyelidikan itu juga melihat potensi penggabungan antara XL Axiata dan Smartfren boleh mengakibatkan tekanan pendapatan bagi Kumpulan Axiata.
Walaupun demikian, kata MIDF Research, pendapatan Axiata kembali kepada normalisasi pada 1QFY24 dengan meraih sebanyak RM149 juta, lantunan kukuh daripada setahun lalu.
"Memandangkan kehadirannya yang meluas di rantau ini, kami terus melihat prestasi pendapatan bercampur-campur daripada pelbagai syarikat operasi (opcos)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia semalam, Axiata merekodkan untung bersih suku pertama berakhir 31 Mac 2024 merosot kepada RM60.03 juta daripada RM73.85 juta dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM5.66 bilion daripada RM4.99 bilion sebelum ini.
Sementara itu, menurut firma penyelidikan itu, pendapatan 1QFY24 (normalise PATANCI) pada RM149 juta merupakan meningkat hampir tiga kali ganda berbanding setahun lalu yang disokong terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada XL Axiata serta Smart.
"Walau bagaimanapun, sumbangan yang lebih rendah daripada Link Net dan Dialog sebahagiannya menafikan peningkatan dalam pendapatan.
"Secara keseluruhannya, prestasi kewangan Axiata 1QFY24 mencapai jangkaan kami, membentuk 21.3% daripada anggaran pendapatan FY24 penuh tahun kami," jelasnya.
MIDF Research pada masa sama tetap memberi perhatian terhadap pinjaman kumpulan yang kekal pada tahap tinggi sebanyak RM25.5 bilion pada 1QFY24.
"Kami ambil perhatian bahawa pinjaman kumpulan telah meningkat lagi sebanyak +2.8% QoQ kepada RM25.5 bilion.
"Ini disebabkan terutamanya oleh kesan kenaikan dolar AS ke atas peminjaman EDOTCO dan pengeluaran tambahan daripada XL, Robi dan Link Net," ujarnya.
MIDF Research mengekalkan anggaran pendapatan manakala harga sasaran disemak kepada RM2.56 sesaham daripada RM2.42 sebelum ini dengan saranan Neutral daripad Jual. - DagangNews.com








