Kerugian bersih Malakoff diunjur 58% lebih lebar sebanyak RM547 juta bagi keseluruhan FY23 ekoran margin bahan api negatif – Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian bersih Malakoff diunjur 58% lebih lebar sebanyak RM547 juta bagi keseluruhan FY23 ekoran margin bahan api negatif – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov - Kenanga Research mengunjurkan kerugian bersih Malakoff Corporation Berhad 58% lebih lebar sebanyak RM547 juta bagi keseluruhan tahun kewangan 2023 (FY23) dan mengurangkan unjuran keuntungan bersih FY24 sebanyak 26%

 

Firma penyelidikan itu berkata ini adalah untuk mengambil kira andaian margin bahan api negatif FY23 lebih tinggi sebanyak RM950 juta, berbanding andaian RM800 juta sebelum ini, sementara andaian margin bahan api negatif dikekalkan pada RM50 juta bagi FY24.

 

Di samping itu, firma berkenaan turut mengambil kira pendapatan syarikat bersekutu yang lebih rendah sebanyak 41% setiap tahun daripada Shuaibah dan Hidd.

 

“Bagaimanapun, kami mengekalkan dividen sesaham bersih (NDPS) FY23 pada 3 sen tetapi mengurangkan NDPS FY24 sebanyak 26% kepada 3.2 sen (daripada 4.3 sen) berdasarkan pembayaran tidak berubah sebanyak 80%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research menyelaraskan unjuran berkenaan susulan prestasi kumpulan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) mengecewakan kerana margin bahan api negatif yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

“Kerugian bersih sebanyak RM480 juta melepasi ramalan kerugian bersih tahun penuh kami sebanyak RM345.6 juta dan anggaran kerugian bersih konsensus setahun penuh sebanyak RM225.8 juta,” katanya.

 

Meskipun Malakoff disukai kerana kestabilan pendapatannya yang disokong oleh IPP dan konsesi, firma penyelidikan itu berakta terdapat ruang penambahbaikan dalam pengurusan risikonya untuk mengurangkan atau bahkan menghapuskan ketidaktentuan pendapatan yang tidak perlu seperti daripada gangguan yang tidak dirancang serta turun naik margin bahan api.

 

Oleh itu, Kenanga Research mengekalkan saranan ‘market perform’, disokong oleh hasil dividen yang lumayan lebih 4%, dengan harga sasaran (TP) lebih rendah 5% kepada 60 sen sesaham daripada 63 sen sebelumnya.

 

Risiko kepada saranan berkenaan risiko kawal selia dan gangguan tidak dirancang yang membawa kepada pembayaran kapasiti lebih rendah sekali gus menjejaskan pendapatan.

 

Di samping itu, terdapat risiko ketidakpatuhan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang ditetapkan oleh pelbagai pihak berkepentingan dan ketidaktentuan pendapatan berpunca daripada keuntungan atau kerugian margin bahan api.

 

Pada pukul 12:28 tengah hari ini, saham Malakoff susut 1.5 sen atau 2.3% kepada 62.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM3.1 bilion.  - DagangNews.com