Kerjaya Prospek raih dua kontrak bernilai RM46 juta daripada Eastern & Oriental | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek raih dua kontrak bernilai RM46 juta daripada Eastern & Oriental

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Kerjaya Prospek Group Berhad telah menerima dua kontrak bernilai RM46 juta daripada dua anak syarikat Eastern & Oriental Berhad.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Kerjaya Prospek berkata anak syarikatnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd menerima dua surat anugerah (LOA) daripada Eastern & Oriental Express Sdn Bhd (E&OE) dan Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB).

 

LOA pertama bernilai RM24.7 juta daripada E&OE memerlukan Kerjaya Prospek melaksanakan dan menyiapkan pembersihan tapak, kerja tanah, kerja perparitan dan semua kerja berkaitan lain untuk cadangan pembangunan bercampur yang terletak di Seksyen U17, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

 

Projek tersebut dijangka siap dalam tempoh 17 bulan dari tarikh yang dijadualkan bermula pada 1 Oktober 2023.

 

Sementara itu, LOA kedua bernilai RM21.3 juta daripada PMSB melibatkan pelaksanaan dan penyiapan kerja infrastruktur untuk cadangan pembangunan Seri Tanjung Pinang Fasa 2A, Pulau Pinang.

 

Projek tersebut dijangka siap dalam tempoh 12 bulan dari tarikh permulaan 18 September 2023.

 

Mengulas perkembangan baharu ini, Ketua Pegawai Eksekutif Dan Pengarah Eksekutif Kerjaya, Tee Eng Tiong berkata kemenangan kontrak baharu menunjukkan kebolehan kumpulan untuk menjalankan dan melaksanakan jenis pekerjaan lain, sekaligus mencipta aliran hasil tambahan dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

 

Tee Eng Tiong
Tee Eng Tiong

 

 

“Lebih penting lagi, kami berusaha untuk meningkatkan kelebihan daya saing kumpulan dalam industri sambil kami terus berkembang dan diiktiraf sebagai pemain industri terbaik.

 

“Setakat ini, buku pesanan terkumpul kami kukuh pada RM983.8 juta, merangkumi 82% daripada jumlah sasaran kumpulan sebanyak RM1.2 bilion untuk tahun ini,” katanya.

 

Pada waktu penulisan, saham Kerjaya Prospek menokok 1 sen atau 0.9% kepada RM1.13 dengan permodalan pasarannya bernilai RM1.4 bilion. - DagangNews.com