Kerjasama USM, Yayasan Sabah bangunkan inovasi baharu pembuatan produk kraftangan ambatu kelarai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama USM, Yayasan Sabah bangunkan inovasi baharu pembuatan produk kraftangan ambatu kelarai

KUALA LUMPUR 13 April - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dengan kerjasama Yayasan Sabah telah membangunkan beberapa inovasi proses di bawah program Innovation for Community (INNO4C) iaitu Ambatu Kelarai Scale-Up Project.

 

Pensyarah Kejuruteraan Mekanikal, Prof Madya Dr Khairudin Mohamed dan Prof Madya Dr Zahurin Samad telah membangunkan inovasi baharu hasil penyelidikan mereka bagi membantu meningkatkan lagi hasil anyaman komuniti di Kemabong, Tenom. 

 

Terdapat lima inovasi proses yang dibangunkan:


1.    Mesin Pemotongan (Cutting Machine): Mesin ini berupaya memotong batang buluh dengan lebih tepat dan mudah. 

 


2.    Mesin Pengilap Buluh (Bamboo Polishing Machine): Fungsi mesin ini ialah bagi menjimatkan masa dan tenaga manusia semasa proses mendapatkan permukaan buluh yang licin.

 


3.    Mesin Membelah Buluh (Bamboo Spitting Machine): Mesin ini berfungsi sebagai alatan yang membelah kepingan buluh dengan menjimatkan masa dan tenaga manusia. 

 


4.    Mesin Penghiris Buluh Kendalian Pedal Pendirian (Pedal-Operated Bamboo Slicing Machine with Stand): Keupayaan mesin ini ialah boleh mendapatkan empat lapisan kulit buluh mengikut kesesuaian produk yang akan dibangunkan oleh penduduk. 

 


5.    Mesin Jalur Buluh Retak Tangan dengan Pedal Mudah Alih (Hand-crack Bamboo Strip Layering Machine with Movable Stand): Mesin ini berfungsi sebagai peraut bilah kelarai semasa dalam proses pembinaan.

 

 

usm

 

 

Prof Dr Zahurin berkata, proses inovasi yang telah dibangunkan itu secara tidak langsung dapat menjimatkan masa dan tenaga manusia semasa proses pembuatan kraftangan.

 

“Selain daripada menjimatkan masa dan tenaga manusia dalam proses pembuatan ambatu kelarai, ia juga dapat meningkatkan kuantiti produk dalam satu-satu masa,” katanya.

 

Unit Penyelidikan telah mewujudkan satu alternatif kaedah pewarnaan bilah kelarai yang dapat menghasilkan kepelbagaian warna yang berkualiti. 

 

Malah, produk ambatu kelarai ini juga akan melalui proses rawatan kimia hasil  penyelidikan Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM yang diketuai oleh Dr Mazlan Ibrahim. 

 

Proses inovasi itu menjadikan produk kelarai lebih berkualiti tinggi, tahan lama dan dapat menarik minat lebih ramai pembeli untuk membeli kraftangan.

 

Ia sekali gus dapat memasarkan produk kraftangan di pasaran tempatan mahupun antarabangsa serta mampu menjana pendapatan komuniti yang terlibat.

 

 

usm

 

 

Mengulas lanjut, Ambatu kelarai merupakan salah satu daripada anyaman yang dijalankan secara turun temurun oleh golongan usahawan Sabah, khususnya di Kampung Tinura, Ulu Tomani, Kemabong, Tenom

.

Pada awalnya, penganyaman kelarai merupakan aktiviti yang dijalankan oleh kaum wanita di kawasan tersebut untuk mengisi masa lapang selain daripada menambah pendapatan sampingan.

 

Ambatu kelarai adalah produk berasaskan buluh dan rotan yang subur di kawasan berhampiran hutan. Hasil anyaman kelarai dibentuk menjadi hasil produk kraftangan seperti takinan, topi lalandau, beg kraftangan wanita dan beberapa produk kraftangan yang lain. 

 

Kaedah penganyaman komuniti ini masih di peringkat konvensional kerana mereka memotong, membelah, dan menipiskan buluh hanya berbekalkan pisau dan tangan sahaja.

 

Hal ini menyebabkan komuniti tersebut sudah terbiasa dengan tangan yang berparut akibat luka terkena buluh malah proses penghasilan sebuah produk kraftangan juga mengambil masa hampir sebulan. - DagangNews.com