Kerjasama strategik Pernas-TMGV tawar peluang francais F&B baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama strategik Pernas-TMGV tawar peluang francais F&B baharu

Pengasas Mikey's Pizza & NY Burger Co, Michael Helfman (tengah) bersama Pengarah Eksekutif, Manichel Subra (kiri) dan Datuk Seri Subahan Kamal (kanan).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Julai - Pemerolehan TMG Ventures (TMGV) terhadap Mikey’s Original New York Pizza atau dikenali sebagai ‘The Home of the 18” Pizzas’ baru-baru ini dijangka akan memacu industri makanan dan minuman (F&B) negara menerusi penawaran peluang perniagaan francais pada kadar berpatutan. 

 

Pemerolehan pegangan dalam kedua-dua jenama berinspirasikan Amerika Syarikat oleh TMGV, sebuah syarikat penyatuan dan pengambilalihan F&B perintis di Asia Pasifik, adalah susulan jalinan usaha sama strategik dengan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas).

 

Jalinan kerjasama itu berperanan untuk merangsang pertumbuhan industri F&B dan francais Malaysia serta membantu jenama-jenama tempatan menerokai industri makanan luar Asia Pasifik. Usaha sama bersama Pernas telah dimeterai melalui syarikat FBE Ventures iaitu syarikat pemegangan TMGV.

 

Pengerusi Eksekutif TMGV, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pemerolehan Mikey’s Original New York Pizza dan NY Burger Co adalah antara kejayaan usaha sama dengan Pernas bertujuan memacu jenama-jenama francais tempatan yang berkeupayaan dengan potensi pertumbuhan baik serta mencapai kejayaan lebih tinggi. 

 

"Dengan mewujudkan francais Malaysia bertaraf global, kami bermatlamat untuk meningkatkan jenama-jenama ini sehingga ke pasaran serantau dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sebelum ini, TMGV telah berjaya memperoleh jenama-jenama seperti The Majapahit, sebuah restoran mewah-kasual terkemuka yang menyajikan masakan Asia Tenggara; Tail & Fin, sebuah restoran makanan segera-kasual Jepun berasal dari Las Vegas dan Wings of the World, yang menyediakan hidangan kepak ayam dengan pelbagai perasa dari seluruh dunia. 

 

Selain menjadikan jenama-jenama yang diperoleh kepada francais, TMGV juga turut bekerjasama dengan ZING, sebuah syarikat makanan dan teknologi yang pesat memperkembangkan konsep inovatif medan selera digital di pasaran Asia Tenggara. Kerjasama kukuh ini menyediakan rancangan perluasan perniagaan segera yang lancar bagi mana-mana jenama di bawah TMGV. 

 

Kedua-dua Mikey’s Original New York Pizza dan NY Burger Co adalah hasil anak watan New York, Michael Helfman, yang pada 2013 telah mendapat ilham untuk membawa piza ala ‘kepingan New York’ ke Kuala Lumpur dengan bantuan Chef Piza terkemuka dari New York, Andrew Bellucci, secara kebetulan membina ketuhar piza beliau sendiri di negara ini dan beroperasi dengan hasrat untuk menyediakan piza New York terhebat menggunakan ramuan terbaik.

 

Bersama pengenalan jenama kedua mereka, NY Burger Co, kedua-dua individu ini telah memperluaskan warisan makanan New York ini ke restoran-restoran berskala penuh di 1 Mont Kiara, Plaza Batai dan Citta Mall di Lembah Klang. Setiap satu jenama tersebut mempunyai 10 cawangan yang diperluaskan menerusi platform ZING. 

 

Berbicara mengenai kedua-dua jenama, Michael Helfman berkata, pemerolehan TMGV membolehkan jenamanya mempunyai kelebihan tersendiri memandangkan kini sebahagian daripada kumpulan F&B terbesar. 

 

Memandangkan perjanjian tersebut dimeterai dengan gabungan tunai dan saham, Michael Helfman akan kekal sebagai pemegang saham dan penasihat kepada kumpulan berkenaan. 

 

Menurut Laporan Tahunan Perniagaan Francais, nilai jualan syarikat-syarikat francais meningkat sebanyak 9.7% kepada RM14.4 bilion pada tahun 2020 daripada RM13.3 bilion pada 2019.2 Pada tahun 2018, jumlah jualan mencatatkan RM11.16 billion. - DagangNews.com