Kerjasama strategik Pecca Aviation, GCA bagi meningkatkan pengembangan perniagaan penerbangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama strategik Pecca Aviation, GCA bagi meningkatkan pengembangan perniagaan penerbangan

Majlis menandatangani perjanjian antara Pecca Aviation dan GCA disaksikan Azfar Mohamad (tengah) dan Shamsul Kamar (kanan berdiri) di Singapura hari ini. Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi menadatangani bagi pihak GCA manakala Pecca Aviation diwakili Pengarah Eksekutifnya, Hugo Teoh.

KUALA LUMPUR 22 Feb – Pecca Aviation Services Sdn Bhd (Pecca Aviation), anak syarikat milik penuh Pecca Group Berhad, telah menandatangani perjanjian agensi dan pengedaran dengan Global Component Asia Sdn Bhd (GCA).

 

Perjanjian itu untuk memulakan perkongsian strategik yang akan meningkatkan standard penyenggaraan, pembaikan dan operasi dalaman pesawat (MRO) di pasaran utama global.

 

Menurut Pecca Group Berhad, perjanjian itu terbentuk susulan daripada Pecca Aviation dan memorandum persefahaman (MOU) GCA yang ditandatangani pada Mei 2023, di mana kedua-dua pihak bersetuju membabitkan diri dalam usaha pemasaran bersama untuk mempromosikan penyelesaian sarung tempat duduk pesawat keluaran Pecca bagi pasaran awam dan pertahanan global.

 

"Bagi menandakan perkembangan penting itu, satu majlis menandatangani perjanjian telah diadakan di Pertunjukan Udara Singapura 2024, dengan disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar dan Ketua Pegawai Eksekutif National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia), Professor Technologist Shamsul Kamar Abu Samah.

 

"Perkongsian itu akan menyaksikan Pecca Aviation menyediakan penyelesaian dalaman pesawat kepada senarai pelanggan penerbangan terkemuka GCA yang termasuk syarikat penerbangan yang berada dalam industri penyenggaraan, pembaikan dan operasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada masa sama, Pecca Aviation dan GCA akan bekerjasama untuk melayani permintaaan pasaran utama termasuk Malaysia, Perancis, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Indonesia. 

 

"Dengan menyasarkan wilayah ini secara strategik, GCA dan Pecca Aviation menyasarkan untuk menawarkan penyelesaian dalaman penerbangan yang komprehensif kepada pelbagai pelanggan, meningkatkan pengalaman penerbangan keseluruhan untuk penumpang dan mengoptimumkan kecekapan operasi untuk pengendali penerbangan," uajrnya.

 

Tersenarai di Bursa Malaysia, Pecca Group Berhad telah terlibat dalam industri upholsteri selama lebih 25 tahun.

 

Syarikat itu ialah pusat sehenti: penggayaan, pembuatan, pengedaran dan pemasangan upholsteri untuk sarung tempat duduk dan produk dalaman untuk pangkalan pelanggan global termasuk Toyota dan Nissan. 

 

Di Malaysia, Pecca ialah pembekal upholsteri kulit terbesar dalam pasaran automotif. Terutamanya, Pecca adalah satu-satunya syarikat di Asia Tenggara yang telah mencapai pensijilan Kelulusan Organisasi Pengeluaran (POA) C2 daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA).
- DagangNews.com