Kerjasama bank, kesatuan pekerja penting untuk industri perkhidmatan kewangan mampan | DagangNews Skip to main content

Kerjasama bank, kesatuan pekerja penting untuk industri perkhidmatan kewangan mampan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Kerjasama erat yang wujud di antara sektor perbankan dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) adalah faktor utama yang telah menyumbang kepada keupayaan industri perkhidmatan kewangan dalam mengatasi cabaran pandemik COVID-19.

 

Pengerusi Persatuan Bank Komersial Malaysia (MCBA), Datuk Nora Manaf berkata, penting bagi pemain industri seperti MCBA dan NUBE terus memperkukuh perkongsian mereka serta mencari jalan baharu bagi menyediakan tenaga kerja perbankan untuk masa hadapan mencabar.

 

“Pandemik COVID-19 adalah contoh terbaik yang mana bank dan NUBE bekerjasama rapat untuk mengatasi cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sambil menghargai keperluan untuk menyesuaikan diri dan berinovasi demi memastikan kemampanan semua pihak,” katanya.

 

Datuk Nora berkata demikian pada acara Hari Pekerja NUBE baru-baru ini di Kuala Lumpur yang mana MCBA dan Presiden NUBE, Michael Tan mengukuhkan komitmen kedua-dua organisasi untuk memacu industri perkhidmatan kewangan Malaysia melalui usaha berterusan dalam meningkatkan tenaga kerja perbankan.

 

Beliau menyatakan bahawa bank-bank telah lama mula beralih daripada operasi “tradisional” kepada ekosistem digital memandangkan gangguan dalam persekitaran operasi. Ini menjadi lebih ketara semasa pandemik yang mana ia adalah lebih kritikal untuk memenuhi keperluan pelanggan dan tenaga kerja selaras dengan norma baharu.

 

Nora yang juga Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank berkata, mereka berbesar hati kerana NUBE sangat menyokong usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja perbankan. 

 

"Pendekatan mereka yang berpandangan ke hadapan adalah amat kritikal untuk mengharungi persekitaran digital serta memupuk bakat untuk masa depan. 

 

"Kerana solidariti inilah saya yakin MCBA dan NUBE boleh mencetus idea baharu dan memulakan program berimpak tinggi demi memastikan kemampanan industri perkhidmatan kewangan. Ia juga akan membantu sektor perbankan menjadi lebih berdaya tahan dan boleh menyesuaikan diri pada tahun-tahun akan datang," katanya.

 

Katanya, MCBA akan terus bekerjasama rapat dengan NUBE untuk mencari jalan baharu untuk meningkatkan kualiti tenaga kerja perbankan di Malaysia melalui pendekatan yang mampan dan progresif. 

 

“Terdapat pelbagai perkara yang sedang berkembang dengan pantas dalam industri kami dan kerjasama yang padu merupakan suatu keperluan untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan. Ini juga bermakna kami akan berada dalam kedudukan yang kukuh untuk terus mentransformasi dan meningkatkan kemahiran hampir 11,276 kakitangan bank di bawah NUBE," katanya.

 

Sementara itu, Michael berkata, bagi tenaga kerja, Hari Pekerja adalah sambutan yang penting yang diadakan untuk mengiktiraf sumbangan pekerja ke arah membina organisasi dan negara. 

 

"Pekerja adalah aset, dan sumbangan mereka tidak boleh dinafikan dalam apa cara sekalipun," katanya. - DagangNews.com