PUTRAJAYA 12 Julai - Kerajaan akan memberi subsidi pembelian tiket penerbangan kepada pelajar universiti awam untuk pulang ke kampung halaman bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan, mulai 15 Ogos ini.
Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke berkata, subsidi tiket penerbangan ini sah untuk pembelian tiket penerbangan sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal dan tempat pelajar sedang menuntut.
Subsidi ini hanya boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MYAirline.
Pelajar boleh membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket melalui laman web syarikat penerbangan dan tarikh akhir penebusan pada 31 Oktober ini.
"Setiap pelajar layak menerima subsidi RM300 melalui 'credit shell' dan pembelian tiket penerbangan perjalanan selepas tarikh akhir penebusan adalah dibenarkan," katanya pada sidang media hari ini.
Yang turut hadir timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Jana Santhiran Muniayan.
Pelaksanaan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar ini bertujuan mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman semasa cuti semester.
Sebelum ini MOT telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat penerbangan bagi memperincikan pelaksanaan inisiatif itu.
Menurut Loke, pelajar warga Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di universiti awam pada 2023 layak menerima subsidi berkenaan.
Pelajar boleh merancang tarikh penerbangan dan sekiranya baucer RM300 itu mempunyai lebihan boleh digunakan untuk penerbangan seterusnya dengan menambah wang sendiri sekiranya tidak mencukupi.
Semakan kelayakan permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang MOT dan sekiranya tidak layak boleh membuat rayuan kepada KPT melalui universiti masing-masing.
"Inisiatif ini akan dimanfaatkan kira-kira 56,000 pelajar universiti awam dengan kos keseluruhan berjumlah RM16.8 juta," katanya. - DagangNews.com








