Kerajaan sasar 10,000 stesen pengecas EV di Malaysia menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

Kerajaan sasar 10,000 stesen pengecas EV di Malaysia menjelang 2025

KUALA LUMPUR 16 Mac - Kerajaan menyasarkan 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Malaysia menjelang 2025 di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata, Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) memainkan peranan penting dalam mewujudkan kerjasama swasta dalam memacu infrastruktur stesen pengecasan EV bagi mencapai sasaran ini.

 

“Pada masa ini, kita ada kira-kira 300 stesen di bawah kerjasama ini dan dianggarkan, jumlah keseluruhan pengecasan stesen sedia ada untuk pengguna adalah 600 stesen,” katanya semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai perancangan kementerian dalam usaha membangunkan industri EV tempatan memandangkan industri kenderaan elektrik semakin berkembang dan diterima di seluruh pasaran dunia, lapor Bernama.

 

Ban Hong berkata, kerajaan juga menyediakan insentif cukai dan bantuan kewangan kepada syarikat-syarikat yang ingin membina infrastruktur EV seperti pengecualian cukai pendapatan melalui galakan taraf perintis.

 

“Selain itu, antara usaha-usaha MITI termasuk penubuhan Pasukan Petugas EV yang turut dianggotai kementerian, agensi dan pihak swasta berkaitan, bagi menambah baik strategi sedia ada serta merangka strategi baharu bagi memperkukuhkan pembangunan industri EV di Malaysia,” katanya.

 

Bagi memastikan Malaysia berupaya meningkatkan daya saing dalam menarik pelaburan dalam sektor EV, kerajaan menawarkan  pelbagai insentif, bukan sahaja kepada pengeluar kenderaan dan komponen, malah, merangkumi pengguna (sudut permintaan) secara amnya, seperti yang telah diumumkan pada Bajet 2022.

 

“Pembangunan standard berkaitan industri EV seperti sistem pengecasan, aktiviti pelupusan bateri, penukaran bateri, pengecasan tanpa wayar dan lain-lain, turut diberikan perhatian bagi memastikan teknologi EV yang diguna pakai dan dibangunkan dalam negara adalah seragam, selamat dan berkualiti,” katanya.

 

Katanya kejayaan dasar dan usaha kerajaan dalam membangunkan industri ini telah diterjemahkan kepada pelaburan yang diluluskan bagi sektor EV. 

 

“Sebagai contoh, dua syarikat besar yang berpangkalan di Korea Selatan iaitu SK Nexilis dan IMM Technology telah melabur di Malaysia bagi menghasilkan kerajang tembaga elektro-terenap yang digunakan sebagai komponen bagi bateri EV,” kata Lim. - DagangNews.com