Kerajaan Persekutuan komited fokus pembangunan di Sarawak - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Persekutuan komited fokus pembangunan di Sarawak - PM

Majlis Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Petra Jaya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Ogos 2022. - Gambar PMO

KUCHING 7 ogos -  Kerajaan Persekutuan memberi komitmen akan sentiasa memberi fokus kepada pembangunan Sarawak untuk memastikan kesejahteraan rakyat negeri itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Menurut beliau, komitmen itu terbukti dengan peruntukan besar yang disalurkan bagi melaksanakan banyak projek pembangunan di negeri ini.

 

Katanya, ini termasuk perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.55 bilion yang disediakan Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

"Bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan, peruntukan sebanyak RM5.77 bilion disediakan di bawah RMK-12, bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak.

 

"Daripada 409 projek pembangunan baharu dan sambungan, sebanyak 111 projek kini siap sepenuhnya, 109 projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 189 projek berstatus prabina," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Petra Jaya di sini hari ini.


 

PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 


Ismail Sabri berkata, peruntukan sebanyak RM2.16 bilion turut disediakan bagi menampung 361 projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah daif.

 

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 203 projek sudah siap, 68 projek di peringkat pembinaan, manakala bakinya dalam peringkat prabina.

 

Bagi meningkatkan kualiti fasiliti kesihatan, beliau berkata, sebanyak enam projek pembinaan hospital dan klinik dilaksanakan di Sarawak membabitkan projek tambahan bangunan, kelengkapan perubatan serta kuarters kakitangan.

 

"Sehingga kini, Hospital Sri Aman sudah siap, manakala lima projek lagi yang membabitkan kos sebanyak RM695.5 juta iaitu di Miri, Mukah, Kuching dan Serian, dijangka siap tahun depan," katanya.

 

Bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat di luar bandar, Ismail Sabri berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyediakan peruntukan RM13.4 bilion untuk membangunkan pelbagai prasarana yang diperlukan rakyat.

 

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan jalur lebar sempurna secara menyeluruh di Sarawak menjelang 2030, sebanyak RM4.09 bilion disediakan melalui Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah RMK-12.


 

PM

 


Usaha untuk menyediakan kemudahan jalur lebar itu tidak mungkin dicapai jika liputan bekalan elektrik tidak menyeluruh, justeru katanya, kerajaan membina empangan hidro elektrik ketiga berkapasiti 1,295 MegaWatt (MW) di Baleh di pedalaman Bahagian Kapit.

 

"Inilah antara tanda keprihatinan dan inisiatif kerajaan kepada rakyat Sarawak dan kita berharap, selepas ini tiada lagi Keluarga Malaysia yang terpaksa memanjat pokok atau berkhemah di atas bukit semata-mata mencari liputan internet," katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga komited dalam menyelesaikan masalah banjir di negara ini dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM15 bilion dalam tempoh lapan tahun iaitu dari tahun 2023 hingga 2030 di bawah RMK-12.

 

Bagi mencapai sasaran sifar miskin tegar menjelang penghujung 2025, katanya, Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) turut dilaksanakan di Sarawak membabitkan empat lokaliti dalam fasa pertama iaitu Gedong, Kampung Seberang Sebuyau, Kampung Spaoh dan Pakan.

 

"Selain BMTKM, seramai 867,967 Keluarga Malaysia di Sarawak menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM745 juta.

 

"Ini membuktikan kecaknaan Kerajaan Persekutuan terhadap Keluarga Malaysia di Sarawak," katanya.


 

PM

 


Selain projek mega Lebuh Raya Pan Borneo yang bernilai RM16.1 bilion yang dijangka siap tahun depan, menurutnya, kerajaan juga meneruskan Fasa 2 Projek Sarawak Sabah Link Road sepanjang 326 kilometer dengan kos RM7.68 bilion yang akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei. - DagangNews.com