Kerajaan mungkin guna subsidi bahan api tangani tekanan inflasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan mungkin guna subsidi bahan api tangani tekanan inflasi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - Kerajaan masih mempunyai ruang untuk menangani tekanan inflasi dengan menyuntik dana tambahan menerusi subsidi bahan api, menurut MIDF Research dalam laporan tematiknya hari ini. 

 

Ketika ini, kerajaan menambat harga runcit RON95 dan diesel masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 per liter. Gas petroleum cecair (LPG) pada RM1.90 per kilogram (kg) ditetapkan pada 2015 manakala minyak masak pada RM2.50 per kg. 

 

Subsidi bahan api ini merujuk kepada jumlah yang dibelanjakan kerajaan untuk mengekalkan harga siling RON95, diesel, LPG dan minyak masak.

 

Menurut firma itu, suntikan dana tambahan itu boleh dilaksanakan berpandukan kepada wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR).

 

Katanya, peningkatan dalam tekanan inflasi, yang mana mencatatkan peningkatan terbesar dalam 5 bulan kepada 3.3% pada bulan lalu adalah disebabkan oleh faktor tolakan kos iaitu kekangan dalam bekalan dan kenaikan harga tenaga.

 

"Inflasi IHPR pula meningkat pantas kepada rekod tertinggi baharu yang mencerminkan kos input ketara dalam aktiviti pengeluaran," katanya.

 

Firma itu menjangkakan harga minyak mentah Brent akan berlegar pada AS$75 hingga AS$80 setong dan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berada pada purata sekitar RM4.09 pada tahun hadapan.

 

Dengan itu, ia menganggarkan kerajaan perlu menampung kira-kira 9.7% margin anggaran harga RON95 sebenar, lebih tinggi sedikit daripada margin 6.1% pada 2021.

 

"Melalui anggaran ini, kos subsidi bahan api mungkin meningkat sedikit melebihi RM10 bilion pada 2022 daripada RM8 bilion yang dibelanjakan pada 2021.

 

"Jika kerajaan akan mengurangkan 10 sen harga RON95 kepada RM1.95, kadar margin ialah 15.3% dan pada anggaran kasar, ini boleh mengeluarkan kira-kira RM12 bilion hingga RM15 bilion daripada perbendaharaan kerajaan," katanya.

 

MIDF Research menggariskan 4 senario berkaitan harga RON95 sekiranya kerajaan menggunakan pendekatan subsidi bahan api dan sejauh mana ia mempengaruhi keseluruhan tekanan inflasi. 

 

Senario pertama ialah status quo di mana harga semasa bahan api kekal pada RM2.05 per liter. Bagi kes yang lebih ekstrem dalam mekanisme apungan harga pula, kerajaan menarik pengaruhnya terhadap harga bahan api. 

 

Bagi senario ketiga dan keempat pula, adalah pengurangan 5 dan 10 sen bagi setiap senario. Di samping itu, ia menambah anggaran perbezaan inflasi makananan pada 2.8%, 5% dan 10% untuk menilai bagaimana IHP utama bertindak balas dalam pelbagai situasi. 

 

"Dengan mengandaikan inflasi makanan berkembang sebanyak 2.8% pada 2022, mekanisme apungan harga RON95 pada purata RM2.25 per liter, ia akan menyebabkan inflasi IHP utama pada 2.9%.

 

"Bagi status quo harga bahan api berkembang hanya 1.1% akan menolak kadar inflasi kepada 2.1%, selaras dengan sasaran kerajaan dan rendah sedikit berbanding purata IHP 2021 pada purata 2.5%. 

 

"Jika kerajaan mengurangkan harga bahan api sebanyak 1.3% dan 3.8%, kita mungkin menyaksikan inflasi utama di bawah paras 2%," jelasnya. 

 

Menurutnya, kerajaan tidak mampu untuk mengurangkan harga bahan api dalam jumlah yang besar melainkan harga minyak mentah global melonjak melebihi AS$90 setong. 

 

"Jadi dengan menggunakan 4 senario yang sama, kami menganggarkan status quo RON95 membawa inflasi utama kepada 2.9% apabila inflasi makanan meningkat sebanyak 5%," tambahnya.

 

MIDF Research berkata, pengurangan 10 sen dalam RON95 hanya menurunkan inflasi kepada 2.5% dengan IHP makanan pada 5%. Jika bekalan makanan global kekal terhad, pertumbuhan harga bagi barangan boleh dimakanan dan mudah alih melonjak 10%, menjadikan tekanan inflasi mencecah 4%. 

 

"Meskipun dengan pengurangan 10 sen dalam RON95, IHP utama akan berlegar pada purata 4.1% yang mana mekanisme apungan harga akan menekan inflasi utama ke paras baharu tertinggi pada 5.3%," katanya. 

 

Firma itu menjangkakan IHPR akan meningkat kepada 4% pada 2022 sekiranya harga bahan api tidak ditambat.

 

Sebaliknya, katanya, jika kerajaan memutuskan untuk membuat pengurangan 5 sen, maka IHPR dan inflasi perantaraan akan menyederhana masing-masing kepada 2.4% dan 2.6%.

 

"Berdasarkan arah aliran inflasi semasa dan wajaran komponen, kami menjangkakan kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk menggunakan skim subsidi bahan api sekiranya inflasi meningkat di tengah-tengah kenaikan harga makanan dan kesesakan berterusan dalam rantaian bekalan global.

 

"Campur tangan itu mungkin antara lain disebabkan oleh jangkaan kenaikan harga tenaga pada tahun hadapan," jelasnya. 

 

Menurut MIDF Research, harga RON95 yang lebih rendah akan menurunkan inflasi IHPR sekali gus mampu merangsang peningkatan hasil korporat berikutan kos pengeluaran berkurangan. 

 

Namun, katanya, peningkatan itu adalah dalam tempoh jangka masa pendek kerana kebanyakan pengeluar akan melepaskan sebarang tekanan inflasi kepada pengguna dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

"Tetapi, sektor yang bergantung kepada bahan api akan berdepan impak ini seperti minyak dan gas (runcit) dan pengangkutan, dan juga sektor berkaitan pengguna," katanya.

 

Firma berkenaan bagaimanapun mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pengguna (makanan dan runcit) dan minyak dan gas manakala neutral bagi sektor pengangkutan. - DagangNews.com