Kerajaan komited runding SSPA, tidak timbul soal piket - CUEPACS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan komited runding SSPA, tidak timbul soal piket - CUEPACS

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama penjawat awam ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di Putrajaya pada 30 Ogos 2022. - Gambar PMO

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hanya akan membuat piket jika kerajaan tidak membincangkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

 

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, cadangan untuk menaikkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 sudah banyak kali dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun tiada tindakan diambil.

 

Tidak timbul soal piket pada masa ini kerana kerajaan sudah menyatakan komitmen untuk meneruskan rundingan SSPA, tambahnya.

 

"Namun, jika kenaikan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 tidak dibincangkan mungkin kita akan fikirkan kembali hasrat itu (piket)," katanya ditemui selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

 

Julai lalu, CUEPACS menggesa kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan atau berisiko berdepan protes jalanan daripada penjawat awam.

 

Adnan berkata, insentif yang diumumkan Perdana Menteri itu walaupun tidak memenuhi sembilan tuntutan CUEPACS, penjawat awam berterima kasih kerana kerajaan memahami denyut nadi rakyat.

 

"Kami menyokong kerajaan hari ini dan tahu majikan mana yang dekat dengan hati penjawat awam," katanya.

 

Sementara itu, Adnan berkata, enam insentif yang diumumkan Perdana Menteri hari ini adalah manifestasi penghargaan kerajaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang sentiasa menjadi barisan hadapan.

 

CUEPACS memahami bahawa kerajaan mempunyai kekangan daripada sudut kewangan namun tetap cuba untuk mendengar dan memberi yang terbaik kepada penjawat awam.

 

"Segala insentif yang diumumkan kerajaan ini sekurang-kurangnya mampu memberi kelegaan kepada penjawat awam yang begitu terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan inflasi.

 

"Sebagai contoh pemberian Bantuan Khas Kewangan 2023 berjumlah RM700 kepada anggota Gred 56 ke bawah serta tambahan khas sebanyak RM100 kenaikan gaji tahunan.

 

"Begitu juga dengan penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada penjawat awam yang telah mencapai gaji maksimum," katanya.

 

Adnan berkata, ketiga-tiga insentif itu adalah satu penghargaan yang wajar diberikan di atas pencapaian produktiviti disumbangkan penjawat awam kepada negara. Hal ini tidak wajar dinafikan atau dipertikaikan oleh pihak lain," katanya, Berita Harian melaporkan.

 

BACA JUGA: Penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 bakal nikmati kenaikan gaji RM100 mulai Januari 2023

 

BACA JUGA: PM umum bantuan khas kewangan RM700 kepada penjawat awam, RM350 bagi pesara mulai Januari 2023

 

Beliau berkata, sesuai dengan saranan Perdana Menteri, CUEPACS berharap setiap penjawat awam sentiasa menjaga produktiviti masing-masing agar ekonomi negara akan bertambah kukuh dan kerajaan lebih berupaya meningkatkan kebajikan seluruh warga perkhidmatan awam. - DagangNews.com