Kerajaan digesa benarkan graduan asing bekerja, atasi isu kekurangan tenaga kerja - SAMENTA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan digesa benarkan graduan asing bekerja, atasi isu kekurangan tenaga kerja - SAMENTA

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 5 Feb - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa kerajaan untuk membenarkan graduan asing bekerja bagi mengurangkan masalah kekurangan tenaga kerja yang kronik, terutama dalam bidang kejuruteraan dan teknikal.

 

Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata, ini memandangkan bilangan penuntut asing dalam pengajian kejuruteraan dan teknikal adalah kurang daripada 20,000 orang.

 

"Jika separuh daripada mereka tamat pengajian setiap tahun dan hanya 10% memilih untuk kekal dalam bidang itu dan bekerja, ini bermakna kurang daripada 700 jurutera dan juruteknik yang boleh diambil bekerja. Oleh itu, tidak masuk akal untuk menganggap ini boleh menjejaskan peluang bagi rakyat tempatan.

 

"Sebaliknya, langkah melaksanakan penyediaan bakat tambahan secara cepat ini dapat menyakinkan pelabur asing dan tempatan untuk terus berada di sini dan menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan yang lebih besar bagi rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Sebelum ini media melaporkan, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah sebarang cadangan membenarkan pelajar asing bekerja di Malaysia, bagi menampung kekurangan tenaga kerja mahir, baru-baru ini.

 

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, perkara itu bukan sahaja menidakkan peluang rakyat tempatan, bahkan merugikan negara yang telah melakukan pelaburan tinggi melalui institusi pengajian tinggi tempatan demi melahirkan graduan tempatan berkemahiran tinggi.

 

Ng berkata, SAMENTA turut menganggarkan bahawa Pulau Pinang mengalami kekurangan sebanyak 50,000 tenaga jurutera dan juruteknik yang hanya merencatkan pertumbuhan dalam industri semikonduktor, pembuatan serta logistik.

 

 

samenta
Datuk William Ng

 

 

"Jika Jemaah Menteri meluluskan permintaan pihak industri yang telah lama disuarakan untuk membolehkan penglibatan penuntut asing dalam sektor ekonomi dan pengkhususan yang kritikal, Malaysia akan menyertai kelompok negara-negara maju seperti Australia, Kanada, Ireland, New Zealand, Singapura, Korea Selatan dan United Kingdom untuk membenarkan graduan/penuntut asing bekerja dan menyumbang kepada ekonomi.

 

"Malah, negara-negara maju itu yang mengambil tenaga kerja kita setiap hari. Jika mahu kekal kompetitif, kita juga perlu mempertimbang langkah untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja utama ini di Malaysia -- bermula dengan penuntut asing yang tamat pengajian," katanya.

 

Ng berkata, visa pengambilan kerja selepas tamat pengajian lazimnya bersifat sementara, tempoh tidak diperbaharui dan tiada industri atau kerja khusus, lapor Bernama.

 

BACA JUGA: Cuepacs bantah cadangan benarkan pelajar asing bekerja di Malaysia

 

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kebimbangan pengambilan graduan asing ini akan menjejaskan pasaran kerja atau menyebabkan tenaga kerja tempatan terpinggir, sebagai satu tuduhan yang tidak berasas. - DagangNews.com