Kerajaan bangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan hadapi impak perubahan iklim - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan bangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan hadapi impak perubahan iklim - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Jun - Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) bersetuju melaksanakan beberapa tindakan berhubung hala tuju pengurusan banjir bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, antara tindakan yang akan dilaksanakan termasuk, membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) yang merangkumi pelan tindakan dan strategi jangka panjang dan strategi pembangunan kebangsaan untuk sektor kesihatan awam, infrastruktur, keselamatan dan sumber air, pertanian serta perhutanan dan biodiversiti.

 

Beliau berkata, tindakan lain dengan menggalakkan kerajaan negeri untuk mengguna pakai Indeks Adaptasi Perubahan Iklim Malaysia bagi meningkatkan respons kepada impak perubahan iklim.

 

Jelasnya, selain itu, mengintegrasi faktor perubahan iklim dalam peringkat perancangan, reka bentuk serta pelaksanaan projek-projek sektor air dan infrastruktur bagi mengurangkan risiko bencana banjir.

 

"Ini berikutan Malaysia terdedah kepada impak perubahan iklim seperti hujan lebat yang mengakibatkan fenomena banjir besar.  Ini kerana iklim Malaysia berkelembapan tinggi di samping bentuk muka buminya yang turut menyumbang kepada fenomena ini," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MyCAC secara dalam talian.

 

Ia merupakan Mesyuarat MyCAC yang ketiga selepas kali pertama dan kedua diadakan pada bulan April dan Oktober tahun 2021. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, wakil Ketua Setiausaha Negara dan pakar dalam bidang perubahan iklim. 

 

Perdana Menteri berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan tentang cadangan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam penganjuran acara-acara besar.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan mesyuarat MyCAC secara dalam talian

 

 

Beliau berkata, inisiatif itu dijangka dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik di negara ini selain mengurangkan pelepasan GHG secara berkesan. 

 

"Ia juga berpotensi menarik pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan hijau serta menjimatkan subsidi bahan api oleh kerajaan," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan kerangka dasar pasaran karbon dibangunkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang menyediakan panduan asas bagi urus niaga kredit karbon di Malaysia.

 

 

pm

 

 

"Kerangka ini memberi penekanan kepada kepentingan dan kelebihan urus niaga kredit karbon di peringkat domestik bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon dilaksanakan secara telus, sekali gus menepati piawaian antarabangsa serta menyumbang terhadap sasaran pengurangan pelepasan GHG negara.

 

"Pada masa ini, KASA sedang membangunkan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon Negara selaras dengan aspirasi negara mencapai pelepasan GHG sifar bersih, seawalnya pada 2050," katanya.

 

 

pm

 

 

Beliau berkata, komitmen dan usaha kerajaan dalam menerajui agenda perubahan iklim juga akan diteruskan dengan menyertai Persidangan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) ke-27 di Sharm El-Sheikh, Mesir pada 6 hingga 18 November 2022 yang merupakan persidangan tahunan bagi membincangkan isu global perubahan iklim.

 

"Saya akan mengetuai delegasi negara ke persidangan berkenaan bersama Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri dan Menteri Alam Sekitar dan Air.

 

"Selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia Lestari’, Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama bagi memastikan keupayaan negara dalam menangani isu perubahan iklim dapat diperkukuhkan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia pada masa kini dan akan datang," katanya. - DagangNews.com