Keputusan PRU15 : Dagangan KLCI dijangka terus berdepan ketidaktentuan - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keputusan PRU15 : Dagangan KLCI dijangka terus berdepan ketidaktentuan - HLIB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Nov - Pasaran tempatan dijangka terus berdepan dengan ketidaktentuan terutama dengan keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada mana-mana politik dapat membentuk kerajaan.

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, indeks utama FBM KLCI merosot sehingga 22 mata apabila dagangan bermula hari pertama selepas Parlimen tergantung sejak keputusan PRU diperoleh pada Sabtu dan menunggu keputusan pembentukan kerajaan baharu, sebelum mengurangkan kerugian dengan berakhir pada 1,448 mata, susut 1.3 mata.

 

"Berdasarkan tempoh kekosongan kuasa (Perdana Menteri dan perikatannya berkemungkinan akan dinamakan oleh Yang di-Pertuan Agong 2 petang hari ini), kualiti pasukan Kabinet, dan majoriti parlimen kerajaan akhirnya yang boleh memulakan pembaharuan institusi dan politik," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam dagangan pagi ini, KLCI meningkat sedikit apabila pemburuan murah muncul berikutan penjualan semalam disebabkan sentimen pasaran yang berhati-hati.

 

Pada 9.05 pagi, indeks itu meningkat 1.34 mata kepada 1,449.3 mata daripada penutupan semalam, pada 1,447.96 mata. 

 

Dari segi aliran dana, HLIB berkata, pelabur asing merupakan penjual utama ekuiti tempatan sebanyak RM167 juta untuk hari keempat berturut-turut diikuti pelabur institusi tempatan yang menjual RM22 juta manakala pelabur runcit membeli ekuiti berjumlah RM189 juta.

 

Katanya, paras sokongan berlegar pada 1,400 hingga 1,420 mata manakala sokongan yang lebih kukuh terletak antara 1,362 hingga 1,373 mata (rintangan antara 1,454 hingga 1,482 mata).

 

“Namun begitu, kami percaya kebuntuan semasa ini tidak akan berlarutan," jelasnya. - DagangNews.com