Keputusan positif segmen bahan kimia khusus lonjak untung bersih 1QFY24 Hextar Global sebanyak 71% kepada RM16.1 juta | DagangNews Skip to main content

Keputusan positif segmen bahan kimia khusus lonjak untung bersih 1QFY24 Hextar Global sebanyak 71% kepada RM16.1 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Untung bersih Hextar Global Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) melonjak 70.8% kepada RM16.1 juta berbanding RM9.42 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong keputusan kukuh segmen bahan kimia khusus serta pelupusan segmen produk pengguna pada suku kedua tahun lalu.

 

Hasil kumpulan itu juga melonjak kepada RM232 juta berbanding RM138.7 juta pada 1QFY23.

 

Segmen buah-buahannya menyumbang 52% kepada pertumbuhan hasil manakala baki 48% hadir daripada segmen bahan kimia khusus.

 

Pengarah Urusan kumpulan, Lee Chooi Keng berkata, keputusan kewangan suku pertama kumpulan itu mencerminkan permulaan tahun yang kukuh apabila keuntungan dan hasil meningkat lebih daripada separuh berbanding tahun lepas.

 

Katanya, sumbangan mengagumkan daripada segmen bahan Kimia khusus menunjukkan bahawa pihaknya telah membina perniagaan yang berdaya tahan dengan langkah kepelbagaian strategik yang memberikan keyakinan pertumbuhan pendapatan yang mampan.

 

"Kami menjangkakan segmen pertanian akan berkembang pada suku tahun akan datang memandangkan harga jualan produk racun rumpai semakin stabil dan kami juga menjangkakan bahawa terdapat pergerakan kenaikan harga positif pada suku akan datang.

 

"Pertumbuhan, keuntungan dan strategi pengurusan modal kumpulan akan terus dipacu oleh perniagaan teras kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, prospek untuk perniagaan bahan kimia khusus pada tahun ini secara amnya dilihat positif.

 

Kumpulan itu telah mengembangkan pangkalan pelanggan syarikat, rangkaian produk dan kemudahan pembuatan tambahan yang melembapkan kesan turun naik permintaan kitaran yang wujud dalam industri minyak dan gas, membuka cara kepada perniagaan yang lebih teguh dan mampan.

 

"Bahan kimia derivatif dan salutan khas yang digunakan dalam sektor produk sarung tangan getah dijangka mencatatkan pertumbuhan sederhana, kami menjangkakan lebihan bekalan bertambah baik berikutan tanda-tanda pemain industri ingin mengurangkan kapasiti pengeluaran melalui penyahtauliahan kilang terpilih. 

 

"Pemulihan mungkin dapat dilihat pada separuh kedua tahun ini. Kami meneruskan usaha kami untuk mempelbagaikan dan berkembang ke pasaran Asia lain selain Malaysia.

 

"Sektor ini komited untuk meningkatkan dan menghasilkan inovasi kimia baharu untuk mencipta produk bernilai lebih tinggi untuk pelanggan," katanya. - DagangNews.com