Kenanga Research turunkan taraf saranan WCT kepada 'Underperform' dengan TP dinaikkan 8% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research turunkan taraf saranan WCT kepada 'Underperform' dengan TP dinaikkan 8%

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Julai - Kenanga Research menaikkan harga sasaran (TP) WCT Holdings Berhad (WCT) sebanyak 8% kepada 95 sen daripada 88 sen sesaham tetapi menurunkan taraf saranan kepada 'Underpeform' daripada 'Outperform'.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penurunan taraf saranan ini disebabkan harga saham WCT telah melampaui nilai fundamentalnya.

 

"Kami menyukai WCT kerana prospek yang meningkat dalam sektor pembinaan tempatan dengan jangkaan pelaksanaan projek-projek awam, pemulihan keuntungan pembinaannya dengan penyelesaian projek-projek warisan yang bermargin rendah potensi penilaian semula dengan premium risiko yang lebih rendah seiring dengan penyahutangan bilangannya melalui pelepasan tanah serta penyenaraian hartanah pelaburannya melalui REIT," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research turut menaikkan ramalan keuntungan tahun kewangan 2024-2025 (FY24-FY25) masing-masing sebanyak 50% dan 106%, seiring dengan kenaikan anggaran kemenangan projek FY24 kepada RM2.0 billion.

 

ARTIKEL BERKAITAN: WCT raih kontrak pembinaan bernilai RM214 juta daripada Kwasa Land

 

Firma penyelidikan itu berkata, anggaran kemenangan projek FY25 pula dikekalkan pada RM1.5 billion.

 

"Kami percaya WCT bersedia untuk mencatat prestasi yang lebih baik pada FY24 dengan pelaksanaan yang akan datang daripada pelbagai projek infrastruktur awam seperti MRT3 (RM45 bilion), projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, rancangan pemulihan Lapangan Terbang Subang (RM3.7 bilion) dan pelbagai hospital kerajaan," jelasnya.

 

Menurut Kenanga Research, kontrak terbaharu WCT bernilai RM214 juta untuk kerja-kerja infrastruktur di Kwasa Damansara telah meningkatkan jumlah kemenangan kontrak tahun ini sebanyak 29% kepada RM964 juta.

 

"Dengan tambahan terbaru ini, buku pesanan yang belum dipenuhi mereka kini berjumlah RM3.4 billion," ujarnya.- DagangNews.com