KUALA LUMPUR 1 Dis - Kenanga Research menurunkan taraf saranan Padini Holdings Berhad kepada 'underperform' daripada 'market perform' berikutan prestasi suku pertama 2024 (1QFY24) mengecewakan.
Firma penyelidikan itu meletakkan harga sasaran (TP) yang dikurangkan 29% pada RM3.20 sesaham berbanding RM4.50 sebelumnya, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak 12 kali.
Ia turut mengurangkan unjuran keuntungan bersih FY24-25 masing-masing sebanyak 38% dan 33%, setelah mengurangkan andaian margin kasar kepada 37% daripada 39.5% untuk mencerminkan kos input dan operasi yang lebih tinggi.
"Padini menjangkakan 2024 yang mencabar berikutan cabaran ekonomi global dan inflasi yang berterusan, menjejas perbelanjaan pengguna.
"Kami berkongsi pendapat yang sama bahawa rasionalisasi subsidi yang akan berlaku mungkin akan memberikan tekanan inflasi yang lebih lanjut, mengecilkan kuasa perbelanjaan kumpulan M40," ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Walaupun Padini tidak mempunyai rancangan segera untuk menaikkan harga produk, Kenanga Research berkata kumpulan itu berharap dapat mempertahankan marginnya dengan memperkenalkan lebih banyak produk bermargin tinggi.
Ini memandangkan terdapat peningkatan kos bahan mentah, ringgit yang lemah serta perbelanjaan pekerja dan pengedaran yang tinggi dan kumpulan itu menjangkakan margin keuntungan kasar menurun kepada 36% hingga 38% daripada sekitar 40%.
"Kami mengambil sikap berhati-hati terhadap Padini berikutan inflasi terus tinggi dan rasionalisasi subsidi yang bakal berlaku akan membebankan sektor perbelanjaan pengguna.
Pelanggan sasarannya dalam kumpulan B40 akan paling teruk terjejas dan [terdapat] tekanan menurun terhadap marginnya disebabkan peningkatan kos input dan operasi dan kemungkinan diskaun yang besar untuk mempertahankan bahagian pasarannya," katanya.
Mengulas mengenai prestasi kumpulan pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY23), firma itu berkata keuntungan bersihnya berjumlah RM26.7 juta adalah di bawah jangkaan, merangkumi ramalan tahun penuhnya dan konsensus masing-masing hanya 11% dan 12%.
Pada pukul 11:40 pagi ini, saham Padini telah susut 9 sen atau 2.4% kepada RM3.66 dengan permodalan pasaran bernilai RM2.4 bilion. - DagangNews.com








