Kenanga Research sedikit positif kontrak baharu OCK Group daripada KPM jana pendapatan berulang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research sedikit positif kontrak baharu OCK Group daripada KPM jana pendapatan berulang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Nov - Kenanga Research sedikit positif bahawa kontrak baharu OCK Group Berhad yang diterima daripada Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjana pendapatan berulang.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia sedikit positif terhadap nilai kontrak RM48.7 juta untuk penyewaan perkakasan ICT mesra alam secara pajak-untuk-guna tersebut, yang berada dalam jangkaannya.

 

Firma itu menganggarkan sumbangan sekitar 1% dan 4% kepada pendapatan kumpulan pada tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23/FY24).

 

Jelasnya, kontrak berkenaan adalah dalam jangkaan untuk pendapatan tahunan berjumlah RM18 juta hingga RM19 juta untuk segmen dagangan pada FY23-24F.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: OCK Group peroleh kontrak RM48.7 juta sewa komputer riba daripada KPM

 

 

“Kami agak positif bahawa kontrak ini akan menjana pendapatan berulang untuk kumpulan daripada pihak yang boleh dipercayai (iaitu KPM).

 

“Lebih penting lagi, perkakasan ICT mesra alam yang disediakan oleh OCK memenuhi keperluan hijau dan memberi manfaat kepada komuniti pelajar di Sarawak.

 

“Oleh itu, ini memberikan rangsangan kepada kelayakan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) OCK,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) 73 sen sesaham.

 

Firma itu berkata OCK disukai memandangkan ia di kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada projek pelancaran JENDELA dan 5G di Malaysia dan ASEAN.

 

Selain itu, OCK mempunyai keterlihatan pendapatan yang kukuh kerana 63% daripada pendapatannya adalah daripada pendapatan berulang diperolehi daripada kontrak penyelenggaraan dan pemajakan menara telekomunikasi.

 

Selain itu, OCK dilihat berpotensi berkembang ke pasaran serantau baharu seperti Indochina, Kalimantan dan Filipina.

 

Setakat pukul 10:57 pagi ini, saham OCK telah menokok 1 sen atau 2.5% kepada 41 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM432.4 juta.  - DagangNews.com