KUALA LUMPUR 21 Feb - Kenanga Research meningkatkan unjuran kerugian Pos Malaysia Bhd. sebanyak 11% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) setelah kumpulan itu merekodkan prestasi kewangan FY22 yang mengecewakan.
Ini mendorongnya mengurangkan harga sasaran Pos Malaysia kepada 46 sen daripada 49 sen sesaham dengan mengekalkan pandangan 'underperform' terhadap penarafan sahamnya.
Bagaimanapun, bagi FY24, ia mengurangkan unjuran kerugian sebanyak 70% kepada RM16.1 juta disokong prospek ekonomi yang semakin positif.
Firma itu kekal berhati-hati terhadap prospek Pos Malaysia memandangkan perniagaan mel masih bergelut untuk kekal relevan dalam era digital hari ini.
"Malah, volum kuriernya juga semakin menurun dan terpaksa berdepan persaingan sengit daripada pemain baharu seperti J&T Express dan Ninja Van, yang mengurangkan kadar secara agresif untuk mengembangkan bahagian pasaran mereka.
"Selain itu, langkah penjimatan kosnya tidak mencukupi untuk mengatasi hasil perniagaan terasnya yang semakin lemah," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Pos Malaysia berjaya kurangkan separuh kerugian bersih FY2022 kepada RM167.7 juta, berbanding RM335.7 juta pada 2021
Pos Malaysia mengurangkan kerugian bersihnya secara ketara sebanyak 50% kepada RM167.7 juta bagi FY22 berbanding kerugian bersih RM335.7 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.
Dalam tempoh itu, pendapatan kumpulan merosot 10.5% kepada RM1.96 bilion berbanding RM2.19 bilion tahun sebelumnya.
Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, kerugian bersih kumpulan bertambah baik sebanyak 20.1% kepada RM98.4 juta berbanding RM123.2 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu manakala pendapatan merosot 11.6% kepada RM467.2 juta berbanding RM528.6 juta.
Menurut Kenanga Research, kerugian bersih teras bagi FY22 sebanyak RM101.1 juta adalah mengecewakan, masing-masing merangkumi 29% dan 8% lebih luas daripada ramalan kerugian bersih firma dan anggaran kerugian konsensus.
Setakat 9.50 pagi, harga saham Pos Malaysia susut 0.5 sen atau 0.84% kepada 59 sen dengan 597,900 saham diniagakan. - DagangNews.com








