Kenanga Research naik taraf saham Mah Sing kepada ‘outperform’ dengan TP lebih tinggi pada RM1 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research naik taraf saham Mah Sing kepada ‘outperform’ dengan TP lebih tinggi pada RM1

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov - Kenanga Research menaik taraf saham Mah Sing Group Bhd kepada ‘outperform daripada ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan 25% kepada RM1 sesaham daripada 80 sen.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan permintaan untuk rumah mampu milik dipacu oleh pertambahan ahli keluarga, migrasi bandar dan trend ke arah keluarga nuklear berbanding keluarga lanjutan, yang mana Mah Sing boleh memanfaatkan perumahannya di bawah M-series.

 

Menurut firma itu, Mah Sing mencapai jualan kukuh sebanyak RM1.2 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), meletakkannya di landasan untuk mencapai sasaran jualan RM2.2 bilion, disokong momentum sihat dan harga kompetitif.

 

“Kumpulan itu telah menyaksikan permintaan tinggi untuk pelancaran baru-baru ini termasuk M Minori, M Meridin East, dan M Astra, yang menunjukkan keyakinan pasaran terhadap penawaran produknya.

 

“Selain itu, minat dalam projek akan datang menandakan potensi pertumbuhan yang konsisten dalam masa terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, Kenanga Research menyatakan bahawa Mah Sing mempunyai kehadiran kukuh dalam segmen hartanah mampu milik, dengan kadar pengambilan sekurang-kurangnya 90%, terutamanya M-series, di mana kira-kira 65% pembeli berumur 35 tahun atau lebih muda.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu memiliki kewangan yang sihat dengan nisbah penggearan bersih sebanyak 0.12 kali bagi suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), dipacu pemulihan cekap, manakala kumpulan itu secara strategik meningkatkan keumpilan kewangan untuk memanfaatkan peluang perbankan tanah.

 

“Prospek cerah ditambat pada potensi manfaat bagi memperluaskan keumpilan kewangan untuk pembelian tanah pada masa hadapan. Setakat ini, kumpulan itu mempunyai bank tanah lebih 809 hektar dan nilai pembangunan kasar (GDV) RM24 bilion,” tambahnya.

 

Sementara itu, segmen hartanah perindustrian Mah Sing menyaksikan permintaan yang kukuh, dengan kadar pengambilan 90%.

 

“Model taman industri inovatif mereka, dengan kerjasama rakan kongsi China yang berpengalaman dalam hartanah dan pembuatan, membolehkan mereka menawarkan produk komprehensif, termasuk pemilihan tanah, pembinaan dan kelulusan diperkemas,” kata firma itu.

 

Manakala bagi operasi sarung tangan, kumpulan itu merancang untuk mengurangkan pengeluaran sehingga tahap purata harga jualan lebih menguntungkan.

 

Setakat pukul 3:46 petang ini, saham Mah Sing telah monokok 3 sen atau 3.6% kepada 86.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM2.1 bilion.  - DagangNews.com